Pemimpin pendidikan masa depan bermula di sini: UUM perkenal Program Sarjana Sains (Kepengetuaan) kepada warga IABCU
Berita dan gambar oleh: Dr. Muhd Zulhilmi Haron
JITRA, 16 Julai 2026 – Pusat Pengajian Pendidikan (School of Education, SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Taklimat Penawaran Program Sarjana Sains (Kepengetuaan) Kohort IABCU pada Khamis, 16 Julai 2026, jam 2.00 petang di Dewan Budaya, Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU).
Program ini dianjurkan sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan IABCU dalam menyediakan laluan pembangunan profesional kepada pemimpin sekolah melalui pengajian pascasiswazah.

Majlis telah dihadiri oleh Encik Ayub bin Ahmad, Pengarah Cawangan IABCU, Prof. Madya Ts. Dr. Irwan Mahazir bin Ismail, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), School of Education, UUM, Dr. Nurul Jawahir binti Md Ali, Pengerusi Program Sarjana Sains (Kepengetuaan), serta Dr. Muhd Zulhilmi bin Haron, Pengerusi Program Pascasiswazah (Luar Kampus/Pesisir), School of Education, UUM.
Kehadiran barisan pengurusan kedua-dua institusi mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan kepimpinan pendidikan negara melalui penawaran program akademik yang berkualiti.
Sepanjang sesi taklimat, para peserta telah diberikan penerangan menyeluruh mengenai struktur Program Sarjana Sains (Kepengetuaan), syarat kemasukan, tempoh pengajian, mod pembelajaran yang fleksibel serta prospek pembangunan kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan kelebihan mengikuti pengajian di Universiti Utara Malaysia yang terkenal sebagai universiti pengurusan terkemuka di Malaysia.
Sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan proses permohonan, pengiktirafan kelayakan, pelaksanaan pembelajaran secara fleksibel serta kemudahan yang disediakan kepada pelajar pascasiswazah.
Sambutan yang diterima menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan warga IABCU terhadap peluang meningkatkan kelayakan akademik dan kompetensi kepimpinan melalui program yang ditawarkan.

Penganjuran taklimat ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dalam melahirkan barisan pemimpin pendidikan yang kompeten, berwibawa dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.
Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memperluaskan akses pendidikan pascasiswazah kepada pemimpin pendidikan di seluruh negara.



