Pemodelan Sistem Dinamik perkasa penyelidikan kesihatan melalui program pindahan ilmu bersama NIH
Gambar IHSR, NIH
SETIA ALAM, 12 Julai 2026: Kepakaran penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Pemodelan Sistem Dinamik (System Dynamics Modelling) terus mendapat pengiktirafan apabila dijemput mengendalikan Program Pindahan Ilmu (Knowledge Transfer) System Dynamics Modelling and Simulation kepada penyelidik Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (Institute for Health Systems Research, IHSR), Institut Kesihatan Negara (NIH), baru-baru ini.

Program yang dikendalikan Prof. Madya Dr. Norhaslinda Zainal Abidin dan Prof. Madya Dr. Jafri Zulkepli yang merupakan ahli Kumpulan Penyelidikan Sustainable Policy & Decision Analytics (SuPDA) dan Institute of Strategic Industrial Decision Modeling (ISIDM) Pusat Pengajian Sains Kuantitatif itu telah menghimpunkan seramai 20 penyelidik daripada pelbagai bidang dalam sektor kesihatan.
Peserta terdiri daripada doktor perubatan, ahli farmasi dan pegawai kesihatan yang kini berperanan sebagai penyelidik dalam usaha memperkukuh penyelidikan berasaskan bukti bagi menyokong pembangunan sistem kesihatan negara.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada kaedah membangunkan model sistem dinamik untuk menangani pelbagai isu kesihatan yang kompleks seperti peningkatan kes kanser, penyebaran penyakit berjangkit, hospital pathways, pengurusan kapasiti hospital dan isu-isu kesihatan awam yang lain. Selain memahami konsep asas pemodelan, peserta turut berpeluang membangunkan model simulasi berdasarkan kes sebenar dan menjalankan analisis terhadap pelbagai senario dasar.
Dr. Jafri berkata, cabaran utama dalam bidang kesihatan ialah kebanyakan masalah yang berlaku dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkait, menjadikan penyelesaiannya tidak boleh dilihat secara berasingan.

Menurutnya, Pemodelan Sistem Dinamik membolehkan penyelidik memahami bagaimana sesuatu masalah berkembang dari semasa ke semasa melalui hubungan sebab dan akibat antara pelbagai faktor yang saling mempengaruhi.
“Berbanding kaedah peramalan konvensional yang hanya meramalkan tren berdasarkan data lampau, pendekatan sistem dinamik bukan sahaja mampu menghasilkan tren tingkah laku sistem dari semasa ke semasa melalui simulasi, malah menjelaskan bagaimana interaksi antara pelbagai faktor mempengaruhi perubahan tersebut.
“Tren yang dihasilkan kemudiannya boleh digunakan untuk menguji pelbagai polisi atau intervensi dalam model simulasi bagi menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di dunia sebenar, sekali gus membantu pembuat dasar membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan bukti,” katanya.
Kepakaran kumpulan Penyelidikan dalam Pemodelan Sistem Dinamik ini bukan sahaja dimanfaatkan oleh agensi kesihatan, malah turut mendapat pengiktirafan daripada institusi pengajian tinggi. Sebelum ini, kumpulan penyelidikan berkenaan telah dijemput mengendalikan bengkel Pemodelan Sistem Dinamik di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Siri jemputan tersebut mencerminkan keyakinan pelbagai institusi terhadap kepakaran penyelidik UUM dalam mengaplikasikan Pemodelan Sistem Dinamik merentas pelbagai disiplin termasuk ekonomi, pendidikan, pengurusan, dasar awam dan kesihatan.
Program pemindahan ilmu seperti ini turut membuahkan hasil yang lebih besar apabila berjaya membuka ruang kepada pembentukan jaringan kolaborasi penyelidikan. Hasil daripada perkongsian kepakaran tersebut, beberapa ahli kumpulan daripada Sustainable Policy & Decision Analytics Group (SuPDA) dan ISIDM, telah dijemput menyertai pasukan penyelidik bagi pelbagai geran penyelidikan yang ditawarkan oleh agensi pembiayaan dan institusi berkaitan.
Selain itu, beberapa ahli kumpulan juga turut menjadi penyelia bersama pelajar Ijazah Kedoktoran di UKM. Kerjasama strategik ini dijangka terus memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi serta meningkatkan sumbangan kepakaran UUM dalam menyelesaikan isu-isu kompleks yang dihadapi negara melalui pendekatan saintifik berasaskan simulasi.

Program ini membuktikan bahawa pemindahan ilmu bukan sekadar medium perkongsian kepakaran, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan berkualiti, pembentukan jaringan strategik serta pembangunan penyelesaian berasaskan bukti yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. – Prof. Madya Dr. Jafri Zulkepli Hew



