Pengurusan TVET UUM berkongsi masa depan kerjaya TVET bersama pelajar Victoria Institution
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad
KUALA LUMPUR, 2 Julai 2026: Dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan berteraskan bidang TVET, Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad telah memenuhi jemputan dari Victoria Institution bagi membuat sesi perkongsian bertajuk “Laluan TVET” bersempena Minggu TVET dan STEM Peringkat Sekolah Tahun 2026.

Perkongsian melibatkan lebih 300 pelajar tingkatan lima ini menjadi platform pendedahan yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dalam bidang TVET khususnya dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan keperluan kemahiran masa hadapan.
Perkongsian turut mendedahkan potensi yang sangat baik dalam bidang TVET, sekali gus melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi tuntutan industri serta masyarakat.
Dr. Shanusi turut memberi garis panduan kepada para pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tentang peluang yang ada dalam laluan TVET yang disediakan oleh kerajaan. Peluang ini turut memberi biasiswa dan pengajian kepada mereka yang minat dan cenderung kepada aliran TVET ini.

Sesi perkongsian ini adalah salah satu bentuk kerjasama yang disasarkan oleh Pengurusan TVET UUM demi memahamkan masyarakat tentang laluan TVET yang bukan lagi laluan kedua.
Dr. Shanusi menegaskan, program komuniti seperti ini melambangkan integrasi kepakaran Pengurusan TVET UUM bersama-sama dengan nilai teras kemahiran melibatkan pihak komuniti sekolah melalui pemerkasaan TVET yang akan melibatkan masa depan pelajar.
Pengetua Victoria Institution, Abd Samad Othman menjemput pihak Pengurusan TVET UUM ini bagi menzahirkan keyakinan penuh terhadap keupayaan Pengurusan TVET UUM dalam memberi penerangan yang jelas kepada semua murid bagi merealisasikan agenda dan Dasar TVET Negara.



