Education

Pengurusan TVET UUM ke Putrajaya bina hubungan strategik latihan TVET bersama BPLTV, KPM

Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Hj. Ahmad

PUTRAJAYA, 29 Jun 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi kunjungan hormat ke Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya.

Delegasi BPLTV diketuai oleh Puan Rahmah binti Sa’aid, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kurikulum TVET, bersama lebih 20 pegawai daripada pelbagai sektor, unit dan bahagian BPLTV yang terlibat secara langsung dalam pembangunan, penyelarasan dan pelaksanaan pendidikan serta latihan TVET di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengurusan TVET UUM diwakili oleh Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad, bersama Encik Kamal bin Khalid, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pengantarabangsaan), bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pembangunan latihan berasaskan industri, pelaksanaan Program Persijilan Kemahiran Malaysia serta pengukuhan pembangunan modal insan melalui ekosistem TVET yang lebih bersepadu dan memenuhi keperluan semasa negara.

Sesi dimulakan dengan tayangan video korporat TVET UUM sebelum diteruskan dengan pembentangan komprehensif mengenai visi, peranan dan hasrat TVET UUM sebagai rakan strategik dalam memperkasakan pembangunan TVET negara.

Pembentangan turut menjelaskan pengalaman TVET UUM dalam melaksanakan Program Persijilan Kemahiran Malaysia, pembangunan latihan profesional, kolaborasi bersama industri serta cadangan kerjasama dalam bidang latihan, pensijilan dan pembangunan kapasiti tenaga pengajar di bawah ekosistem TVET kebangsaan.

Pihak BPLTV kemudiannya membentangkan struktur serta laluan pendidikan TVET di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang merangkumi Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Program Pendidikan Industri Menengah Atas (PIMA), Program Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) serta pelbagai program latihan jangka pendek yang sedang dilaksanakan.

Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam pembangunan latihan, pengiktirafan kompetensi, peningkatan kemahiran tenaga pengajar serta pelaksanaan program yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan negara.

Dalam sesi yang sama, TVET UUM turut mempromosikan peluang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia kepada warga BPLTV, khususnya program Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang dapat menyokong pembangunan profesional pegawai, pendidik dan pengurus TVET. Cadangan tersebut menerima maklum balas positif sebagai salah satu inisiatif memperkukuh pembangunan kepimpinan serta kecemerlangan akademik dalam kalangan warga TVET negara.

Perbincangan diakhiri dengan sesi pertemuan bersama Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Ts. Zulkernai bin Fauzi, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi.

Kedua-dua pihak turut menyatakan hasrat untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai asas kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik melibatkan latihan, Persijilan Kemahiran Malaysia, penyelidikan, pembangunan kepakaran dan pengajian lanjutan, sekali gus memperkukuh hubungan antara TVET UUM dan BPLTV sebagai rakan strategik dalam memajukan agenda TVET negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button