Pengurusan TVET UUM perkasa langkah ke arah kecemerlangan
Berita dan gambar Dr. Wahida Yaakub
SHAH ALAM, 19 April 2026: Pengurusan TVET UUM terus memperkukuhkan peranan mengurus dalam memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui penganjuran Bengkel Perancangan Strategik dan Pemerkasaan Pengurusan TVET UUM 2026.

Bengkel ini telah diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad bersama Dr. Norwahida Yaakub, Kamal Khalid, Dr. Amran Ahmad dan Hanani Adnan.
Turut hadir, Dr. Rosman Bahri, pakar dalam bidang TVET yang telah menyampaikan penerangan berkaitan peluang projek Persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sekali gus membuka ruang kepada pengembangan inisiatif TVET yang lebih berdaya saing dan relevan dengan kehendak industri.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Provos UUM Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dr. Norlena Hasnan dan turut dihadiri oleh Dekan UUM Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman.

Dr. Shanusi berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan menjadi platform penyelarasan peranan Pengurusan TVET UUM dalam merancang serta mengurus inisiatif TVET di peringkat universiti.
Menurutnya, ianya turut mengukuhkan koordinasi antara pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan program yang lebih tersusun, efektif dan selari dengan keperluan industri semasa.

“Di samping itu, bengkel ini membuka ruang kepada perkongsian pandangan serta input daripada pakar industri dan akademik bagi memperkukuhkan perancangan TVET UUM, termasuk penambahbaikan sistem, program serta kebolehdaya saing graduan,” katanya.
Secara keseluruhannya, bengkel ini menjadi inisiatif penting dalam memperkasakan peranan TVET UUM sebagai peneraju dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sejajar dengan agenda transformasi pendidikan teknikal dan vokasional negara.



