Pensyarah UUM turun padang beri bimbingan Projek Ekopelancongan D’Mangrove
Berita dan gambar Dr. Nor Asikhin Ishak
KUALA MUDA, 2 Julai 2026: Dua pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Dr. Nor Asikhin Ishak dan Dr. Nazmin Abdullah telah mengadakan lawatan komuniti serta sesi konsultasi lapangan bagi projek pembangunan chalet dan ekopelancongan berasaskan hutan paya bakau (mangrove) di Kuala Muda, Sungai Petani.
Dr. Nor Asikhin berkata, lawatan yang berlangsung itu bertujuan memberikan khidmat nasihat, bimbingan serta pandangan profesional kepada pengusaha komuniti tempatan dalam usaha memperkukuhkan potensi kawasan tersebut sebagai destinasi ekopelancongan yang mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, sesi konsultasi melibatkan pemerhatian secara langsung terhadap tapak projek, kemudahan sedia ada, persekitaran ekosistem bakau serta potensi aktiviti pelancongan komuniti yang boleh dibangunkan.
Katanya, pembangunan sesebuah projek komuniti memerlukan perancangan yang menyeluruh meliputi fasa sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan projek.
“Pendekatan bimbingan yang berterusan amat penting untuk memastikan projek yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti setempat serta mampu bertahan dalam jangka panjang.

“Pembangunan ekonomi komuniti tidak hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, tetapi perlu mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, penglibatan komuniti, pengalaman pelawat serta impak ekonomi yang boleh dinikmati oleh penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Dr. Nazmin menegaskan bahawa elemen pemerkasaan komuniti dan pemindahan ilmu merupakan antara faktor utama dalam memastikan projek pelancongan berasaskan komuniti dapat berkembang secara lestari.
Beliau turut berkongsi beberapa cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan operasi, pengalaman pelanggan, promosi digital serta penghasilan nilai tambah produk pelancongan tempatan.
Sepanjang lawatan, kedua-dua pensyarah berpeluang meninjau kawasan ternakan kupang, chalet terapung, kemudahan penginapan serta persekitaran hutan bakau yang menjadi tarikan utama kawasan tersebut. Perbincangan turut memberi fokus kepada strategi meningkatkan daya tarikan pelancongan, pemeliharaan ekosistem mangrove dan pengukuhan sumber pendapatan komuniti nelayan setempat.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia dalam melaksanakan fungsi universiti kepada masyarakat melalui perkongsian kepakaran akademik dan sokongan pembangunan komuniti, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasakan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat secara berterusan.
Pembelajaran autentik tidak hanya terbatas pada empat dinding bilik kuliah, sebaliknya ia berkembang subur di tengah-tengah masyarakat, merentas pengalaman, pemerhatian, dan interaksi di lapangan di mana ada kehidupan, di situlah wujud ruang untuk belajar, berkongsi dan mencipta perubahan.



