Education

Penyelidik Kanan ISIDM UUM jadi penceramah jemputan Bengkel Penerbitan Buku Berindeks Scopus di USIM

Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim

NILAI, 21 Jun 2026: Penyelidik Kanan, Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim telah dijemput sebagai penceramah utama bagi Bengkel Penerbitan Buku Berindeks Scopus yang berlangsung di Pentas Ruknu Arabi, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bengkel anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM itu mendapat penyertaan seramai 17 peserta dalam kalangan penyelidik FST USIM.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FST USIM, Prof. Madya Dr. Azni Haslizan Ab Halim yang menekankan kepentingan penerbitan buku berimpak tinggi sebagai salah satu agenda memperkukuh budaya penyelidikan dan penerbitan akademik di fakulti berkenaan.

Menurutnya, objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk meningkatkan jumlah penerbitan buku berindeks Scopus dalam kalangan penyelidik FST USIM, selain memberi pendedahan secara langsung berhubung strategi, proses dan keperluan dalam menghasilkan proposal buku akademik yang berkualiti untuk diterbitkan oleh penerbit antarabangsa bereputasi.

Sesi pertama bengkel diteruskan dengan perkongsian ilmu oleh Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin menerusi ceramah bertajuk “A Sharing Session on Book Publication: My Personal Experience” yang memberi tumpuan kepada pengalaman peribadi beliau dalam menerbitkan buku akademik berindeks, termasuk strategi memilih topik, mengenal pasti penerbit yang bersesuaian, membina proposal buku yang meyakinkan serta memahami kehendak penerbit antarabangsa seperti CRC Press dan Springer.

Dr. Samsul Ariffin berkata, penerbitan buku berindeks Scopus memerlukan perancangan yang teliti, kekuatan idea yang jelas serta kesungguhan penyelidik dalam membangunkan manuskrip yang mempunyai nilai akademik dan impak kepada komuniti ilmu.

“Penyelidik perlu berani meneroka penerbitan buku sebagai satu lagi platform penting untuk menyebarluaskan hasil penyelidikan. Selain penerbitan jurnal, buku akademik juga mampu memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ilmu, reputasi penyelidik dan institusi,” katanya.

Program kemudian diteruskan dengan sesi Hands On 1 pada sebelah pagi dan Hands On 2 pada sebelah petang di mana peserta diberi peluang membangunkan dan memperhalusi idea serta draf proposal buku masing-masing.

Dr. Samsul Ariffin turut memberikan ulasan, cadangan penambahbaikan dan komen membina terhadap empat proposal buku yang telah disediakan oleh beberapa penyelidik FST USIM termasuk maklum balas yang merangkumi aspek struktur proposal, kejelasan objektif buku, kekuatan sinopsis, sasaran pembaca, keunikan kandungan serta kesesuaian penerbit.

Sepanjang bengkel berkenaan, peserta turut didedahkan dengan pelbagai tip dan “resipi” penting dalam menghasilkan proposal buku yang berkualiti tinggi agar berpotensi diterima oleh penerbit antarabangsa. Perkongsian tersebut dilihat amat bermanfaat kerana memberi panduan praktikal kepada penyelidik yang berhasrat menerbitkan buku berindeks Scopus.

Berdasarkan maklum balas peserta, bengkel tersebut berjaya membuka laluan dan meningkatkan keyakinan penyelidik FST USIM untuk menghasilkan penerbitan buku berindeks Scopus.

Dr. Azni Haslizan Ab Halim berkata, bengkel itu telah memberikan motivasi baharu kepada peserta untuk lebih bersemangat dalam menulis dan menerbitkan buku berindeks.

“Alhamdulillah, selepas mengikuti Bengkel Penulisan Scopus bersama Dr. Samsul, saya rasa lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menulis serta menerbitkan buku di Scopus.

“Banyak perkara yang sebelum ini kurang jelas kini lebih difahami, terutamanya berkaitan proses penerbitan buku, cara memilih penerbit yang sesuai dan strategi menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Dr. Samsul Ariffin hadir ke USIM bagi berkongsi ilmu dan pengalaman kepada penyelidik FST USIM.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Farida Hazwani Mohd Ridzuan menyifatkan bengkel tersebut sebagai sangat bermanfaat kerana memberi gambaran yang lebih jelas berhubung proses penerbitan buku berindeks Scopus.

“Terima kasih atas perkongsian ilmu tentang cara untuk menerbitkan buku berindeks Scopus. Selepas mengikuti bengkel ini, proses penerbitan buku berindeks Scopus menjadi lebih jelas.

“Terima kasih juga atas tip dan ulasan yang diberikan terhadap draf proposal kami. Bengkel ini membuktikan bahawa penerbitan buku di Scopus sebenarnya boleh dicapai dengan perancangan dan usaha yang betul,” katanya.

Sebagai kesinambungan daripada bengkel ini, semua peserta dikehendaki menyediakan dan menghantar proposal lengkap kepada Dr. Samsul Ariffin untuk dinilai dan diharapkan inisiatif ini dapat menjadi langkah awal ke arah penghasilan lebih banyak buku akademik berindeks Scopus oleh penyelidik FST USIM.

Diharapkan penganjuran bengkel seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memperkukuh budaya penerbitan akademik, meningkatkan bilangan penerbitan buku berindeks Scopus serta memperluas jaringan kerjasama akademik antara UUM dan USIM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button