Education

Penyerahan LoI Koperasi Tunas Bakti Pulau Pinang Kepada Pengurusan TVET UUM lambang kerjasama strategik

Berita dan gambar Kamal Khalid

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan kolaborasi strategiknya menerusi penerimaan kunjungan hormat dan penyerahan Surat Hasrat (LoI) daripada Koperasi Tunas Bakti Pulau Pinang.

Majlis yang berlangsung di Bilik Sintok, Tingkat 8, UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) ini bertujuan meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET), khususnya melibatkan pelaksanaan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad bersama Timbalan Pengarah, Kamal Khalid turut meraikan hasrat Koperasi Tunas Bakti Pulau Pinang yang diketuai oleh Pengerusinya Dr. Abdul Malik Abdul Shukor serta Azahar Hassan.

Sesi perbincangan antara kedua-dua pihak memberi tumpuan khusus kepada usaha memperluaskan akses kepada pensijilan SKM melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Dr. Shanusi berkata, perbincangan menyentuh tentang pembangunan latihan berasaskan kompetensi, peningkatan kemahiran (upskilling) ahli koperasi, serta pelaksanaan program pembangunan modal insan yang lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Menurutnya, kolaborasi bersama organisasi berasaskan komuniti seperti Koperasi Tunas Bakti Pulau Pinang ini mampu memperkukuhkan ekosistem TVET negara.

“Langkah ini menyediakan laluan pendidikan kemahiran yang lebih inklusif, fleksibel, serta menepati keperluan semasa industri dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Dr. Abdul Malik menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kepakaran Pengurusan TVET UUM dalam mengendalikan program pensijilan kemahiran.

Beliau percaya sinergi ini akan memberikan nilai tambah yang signifikan kepada ahli koperasi melalui peningkatan kompetensi dan pembangunan kerjaya yang lebih mampan.

Pertemuan bersejarah di UUM KL ini membuka lembaran baharu kepada pelbagai inisiatif masa hadapan, termasuk program latihan bersepadu, pembangunan bakat, serta projek kolaboratif lain.

Komitmen padu kedua-dua organisasi ini mencerminkan usaha nyata dalam menyokong agenda TVET negara bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi demi memacu kemajuan Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button