PPKKG santuni murid SK Padang Terap melalui Program Jalinan Mesra dan Kerjaya
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
PADANG TERAP, 23 Jun 2026: Seramai 70 murid Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Padang Terap, Kuala Nerang telah menyertai Program Komuniti dan Kerjaya: Jalinan Mesra Menyemai Impian Gemilang yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid-murid mengenai kepentingan pendidikan dan perancangan kerjaya melalui pelbagai aktiviti interaktif yang menarik serta berinformasikan kerjaya.

Menurutnya, pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka dari segi pendedahan kerjaya, tetapi turut memperkasakan hubungan komuniti dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta.
Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan awal terhadap pelbagai pilihan kerjaya bagi membantu murid-murid membina aspirasi serta motivasi untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.
“Saya berharap program seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing,” katanya.
Majlis perasmian program telah disempurnakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), Mohd Kamal Jusoh yang merakamkan penghargaan kepada PPKKG atas inisiatif mendekati komuniti sekolah dan membantu menyemai kesedaran kerjaya dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah rendah.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Eksplorasi Kerjaya yang menguji pengetahuan, kreativiti dan kemahiran kerja berpasukan murid melalui beberapa stesen bertemakan dunia pekerjaan dan cita-cita masa depan.
Murid-murid didedahkan kepada pelbagai jenis kerjaya serta laluan pendidikan yang boleh diikuti bagi mencapai kerjaya impian mereka.
Aktiviti yang dijalankan secara interaktif dan menyeronokkan ini turut membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan peserta. Selain itu, pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang digunakan berjaya menarik minat murid untuk lebih mengenali bidang-bidang kerjaya yang wujud di sekeliling mereka sejak usia muda.
Program tersebut mendapat sokongan dan penglibatan aktif daripada staf, pelajar praktikum serta Career Buddies PPKKG yang berperanan sebagai fasilitator sepanjang aktiviti berlangsung.
Sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada murid-murid, PPKKG turut menyampaikan hamper serta set alat tulis kepada para peserta. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan sesi bergambar sebagai kenangan, sekali gus menandakan berakhirnya program yang berjaya mencapai objektif dalam menyemai minat serta impian kerjaya dalam kalangan murid sekolah rendah.



