Education

Profesor Adjung SBM, Alumni UUM kongsi ciri graduan pilihan majikan global

Gambar oleh: Wan Mohamad Kamil Wan Salim

SINTOK, 21 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (School of Business Management – SBM) dengan kerjasama Pusat Alumni UUM telah menganjurkan Graduate Employability Sharing Session: Beyond the Degree: What Global Employers Look for in Future Talent bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai keperluan sebenar majikan dalam era pekerjaan global.

Program tersebut menampilkan En. Shazmi Ali, Profesor Adjung, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), yang kini berkhidmat sebagai Vice President of Human Resources, Shell Business Operations (SBO) & Shell Malaysia.

Beliau merupakan graduan kohort pertama program Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (BHRM) dengan Kepujian UUM pada tahun 1999, sekali gus menjadi antara alumni yang berjaya membina kerjaya cemerlang di peringkat antarabangsa.

Turut hadir menyerikan program ialah Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad serta Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, yang bersama-sama menzahirkan komitmen universiti dalam memperkukuh hubungan strategik antara alumni, pusat pengajian dan industri demi melahirkan graduan yang lebih berdaya saing.

Dalam sesi perkongsiannya, En. Shazmi menekankan bahawa majikan pada hari ini tidak lagi menilai calon berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada capacity, brainpower dan relationship yang dimiliki oleh seseorang individu.

Beliau turut menegaskan bahawa kebolehan membina hubungan profesional yang bermakna merupakan antara ciri yang semakin dihargai oleh organisasi multinasional kerana ia mencerminkan potensi seseorang untuk berkembang, berkolaborasi dan memimpin dalam persekitaran kerja global yang dinamik serta kompetitif.

Program turut dimeriahkan dengan sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif apabila para pelajar mengambil peluang mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan pembangunan kerjaya, kemahiran kepimpinan, budaya kerja dalam syarikat multinasional, pembangunan bakat serta strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Perkongsian pengalaman sebenar daripada En. Shazmi memberikan inspirasi dan perspektif baharu kepada para pelajar mengenai cabaran serta peluang dalam dunia pekerjaan.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan SBM bersama Pusat Alumni UUM dalam memperkukuh jaringan alumni serta memperkasakan agenda kebolehpasaran graduan universiti.

Melalui penglibatan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai sektor profesional, program seumpama ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman, malah menjadi platform penting dalam menyediakan graduan UUM yang kompeten, berdaya tahan dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja di peringkat nasional dan antarabangsa. – Azam Arni Mohd Noor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button