Profesor IBS UUM sampaikan ucaptama di Simposium Antarabangsa di Banten Indonesia
Berita dan gambar oleh: Dr. Mohamad Yazid Bin Isa
BANTEN, INDONESIA, 22 Jun 2026: Profesor Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Sahibus Samahah Mufti Pahang, Y.H Prof. Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim telah menyampaikan ucaptama dalam Symposium 2026: Reimagining Takaful for A Sustainable World yang berlangsung di Banten, Indonesia.
Simposium tersebut disertai oleh Menteri Koperasi Indonesia Dr Ferry Juliantono dan 150 ahli akademik dan pengamal industri dari seluruh Indonesia bagi membincangkan hala tuju industri takaful serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang lebih lestari dan berdaya tahan.

Dalam ucaptama bertajuk “Takaful and Maqasid Shariah: Strengthening Human Well-Being and Societal Resilience in a Changing World”, Prof. Dato’ menghuraikan peranan takaful sebagai instrumen kewangan Islam yang bukan sekadar menyediakan perlindungan risiko, malah menjadi pemangkin kepada kesejahteraan insan, pembangunan sosial dan daya tahan masyarakat berteraskan prinsip Maqasid Syariah.
Beliau turut menegaskan bahawa industri takaful perlu terus berinovasi bagi memenuhi cabaran dunia yang semakin kompleks, di samping memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan berteraskan nilai-nilai Syariah.
Penyertaan Prof IBS UUM sebagai penyampai ucaptama dalam simposium bertaraf antarabangsa ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran akademik di IBS dan UUM dalam bidang takaful dan kewangan Islam.



