Education

Program Biz Ready Bootcamp: From Idea To Launch perkasa keusahawanan peserta Program Pembangunan Usahawan Five Star Chicken

Berita dan gambar Farah Ain Zati Basir

PULAU PINANG, 2 Julai 2026: Program Biz Ready Bootcamp: From Idea to Launch anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) telah berjaya dilaksanakan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Jun lalu di Vouk Hotel Suites, Pulau Pinang.

Program ini telah menghimpunkan 16 peserta bersama dua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada Program Pembangunan Usahawan Five Star Chicken bagi memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran dan daya saing dalam bidang keusahawanan.

Pada hari pertama, program dimulakan dengan Slot 1: “Startup Warm Up” yang dikendalikan oleh Datin Shasha dari MS Masha Enterprise yang juga merupakan alumni UUM.

Sesi berbentuk praktikal ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai penyediaan menu, penetapan harga jualan mengikut saiz hidangan serta kaedah pengiraan kos bahan mentah bagi memastikan harga yang ditawarkan kompetitif di samping menjana keuntungan kepada perniagaan.

Hari kedua diteruskan dengan dua slot perkongsian yang memberi fokus kepada pembangunan perniagaan yang dimulakan dengan Slot 2: “Startup Blueprint” oleh Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin.

Melalui slot ini, peserta didedahkan kepada asas dan konsep penting dalam bidang keusahawanan, termasuk pembangunan idea perniagaan, penyediaan pelan perniagaan yang tersusun serta strategi membina perniagaan yang berdaya saing dan mampan. Peserta turut dibimbing untuk memahami langkah-langkah yang perlu diambil dalam merancang dan mengembangkan perniagaan secara lebih sistematik.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Slot 3 yang dikendalikan oleh Penyelaras Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Prof. Madya Dr. Muhammad Rosni Amir Hussin. Sesi ini memberi penekanan kepada penyediaan pelan perniagaan yang lengkap dan sistematik sebagai asas penting dalam membangunkan sesebuah perniagaan.

Antara pengisian yang dikongsikan termasuk komponen utama pelan perniagaan, penetapan matlamat, strategi pemasaran serta perancangan operasi bagi membantu peserta menghasilkan pelan perniagaan yang lebih tersusun dan berdaya maju.

Pada hari terakhir program, peserta mengikuti Slot Asas Kepimpinan yang turut disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad RosniĀ  Amir Hussin. Sesi ini memberi penekanan kepada kepentingan kepimpinan dalam dunia keusahawanan, merangkumi ciri-ciri pemimpin yang berwibawa, kemahiran membuat keputusan, komunikasi yang efektif serta strategi memimpin pasukan ke arah mencapai matlamat organisasi.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada nilai integriti, tanggungjawab dan keyakinan diri sebagai elemen penting dalam membentuk usahawan yang bukan sahaja berjaya mengembangkan perniagaan, malah mampu menjadi pemimpin yang memberi inspirasi kepada pasukan dan masyarakat.

Program Biz Ready Bootcamp: From Idea to Launch telah berjaya mencapai objektifnya dalam melengkapkan peserta dengan pengetahuan, kemahiran dan pendedahan menyeluruh berkaitan aspek pengurusan perniagaan, penyediaan pelan perniagaan serta kepimpinan.

Program ini diharap dapat menjadi platform yang berkesan dalam melahirkan usahawan muda yang lebih berdaya saing, berintegriti, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan yang mampan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button