Education

Program Hijau Arambam Cuanxin perkasa kitar tinggi berasaskan ESG

Gambar Norhayati Nor Hakimi

SINTOK, 17 Mei 2026: Program “Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari: Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG” telah berjaya dilaksanakan pada 6 sehingga 9 Mei lalu di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pelaksanaan Bengkel Modul 4, Bengkel Modul 5 serta Pentaksiran 1.

Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, Bengkel Modul 5: Pengurusan Kewangan & Penubuhan Syarikat yang diadakan di Bilik Training CEDI, Kompleks Konvensyen UUM bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pengurusan kewangan perniagaan, penyediaan rekod kewangan serta tatacara penubuhan syarikat bagi membantu peserta mengurus dan membangunkan perniagaan secara lebih sistematik, berdaya saing dan mampan.

Sementara Bengkel Modul 4: Pemasaran Digital telah berlangsung di Makmal Komputer Lab AI (Lab 2), Pusat Pengajian Pengkomputeran memberi penekanan terhadap strategi pemasaran digital, penggunaan platform media sosial serta pembangunan kandungan kreatif dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran produk dan perkhidmatan peserta seiring dengan perkembangan teknologi digital masa kini.

Program diteruskan dengan Pentaksiran 1: Pitching Your Business Canvas Model yang telah diadakan pada 9 Mei di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen UUM yang memberi peluang kepada peserta untuk membentangkan Business Model Canvas masing-masing secara profesional di hadapan panel penilai serta menerima pandangan dan penambahbaikan terhadap idea perniagaan yang diketengahkan.

Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nur Akmal Mustaffa selaku Ketua Projek bersama tenaga pengajar Dr. Ooi Sue Chern, Dr. Hanis Hazwani Ahmad, Dr. Norkhazzaina Salahuddin, Dr. Waida Irani Mohd Fauzi, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa dan T.S Dr. Mathivannan a/l Jaganathan.

Panel penilai bagi Pentaksiran 1: Pitching Business Model Canvas terdiri daripada Dr. Mohd Fitri Yusoff, Dr. Adibah Ismail dan Prof. Madya Dr. Nur Akmal Mustaffa.

Salah satu komponen penilaian program ini adalah bagi memberi peluang kepada peserta membentangkan idea perniagaan mereka secara tersusun dan berstruktur. Pembentangan tersebut merangkumi elemen nilai cadangan, segmen pelanggan, saluran pemasaran, aliran pendapatan serta aspek kelestarian dan inovasi. Sesi ini bertujuan menilai keupayaan peserta dalam membangunkan model perniagaan yang berdaya saing, inovatif dan mampan.

Pelaksanaan program ini diharapkan dapat melahirkan usahawan muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing serta mampu membangunkan perniagaan lestari berasaskan elemen ESG selaras dengan keperluan industri dan pembangunan ekonomi semasa. – Kaswizawati Md Basir

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button