Sesi libat urus IBS dan KPTM Kota Bharu bincang ruang kerjasama
Berita dan gambar Dr. Siti Latipah Harun
KOTA BHARU, 3 Mac 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi libat urus bersama Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, Kelantan bagi membincangkan kerjasama antara dua institusi pendidikan ini.
KPTM Kota Bharu merupakan institusi MARA ketiga terbesar di Malaysia yang menawarkan pelbagai program kepada hampir 4,000 pelajar termasuk dalam bidang perbankan Islam.
Menerusi kerjasama ini, IBS UUM dan KPTM Kota Bharu akan meneroka peluang dalam program pembangunan pelajar, peluang pengajian pascasiswazah serta pelbagai program akademik dan komuniti.
Pertemuan yang diketuai oleh Dr. Mohamad Yazid Isa mewakili Dekan IBS serta pensyarah IBS disambut oleh Pengarah KTPM Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad serta pengurusan KPTM Kota Bharu.
Pihak IBS UUM menerusi Dana Sosial Takaful juga mengadakan Bengkel Literasi Kewangan bersama 100 pelajar tahun akhir Diploma Perbankan Islam KPTM Kota Bharu bagi mendedahkan peserta mengenai pengurusan kewangan terbaik.
Semoga kerjasama ini membuka ruang kepada UUM dan KPTM dalam mempromosikan kewangan Islam, pengurusan halal, pengurusan Al-Rahn serta bidang-bidang lain yang bersesuaian untuk memberi nilai tambah kepada pelajar dan masyarakat.