Education

SMK Tengku Sharafudin Badlishah johan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Negeri Kedah 2026

Gambar Mohamad Ismandi Wasli dan Dr. Mohd Ammyrul Ashraf Sairan

ALOR SETAR, 2 Julai 2026: Pertandingan Akhir Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah telah melabuhkan tirainya dengan kemenangan SMK Tengku Sharafudin Badlishah, Kulim dinobatkan sebagai johan.

Program ini menjadi kemuncak kepada pusingan saringan yang telah dilaksanakan secara dalam talian pada 18 Jun lalu dengan penyertaan lebih 250 murid daripada 53 buah sekolah menengah di seluruh negeri Kedah.

Naib johan pertandingan dimenangi oleh SMK Agama Baling, manakala SMK Parit Panjang meraih tempat ketiga. SMK Aman Jaya, Sungai Petani pula menduduki tempat keempat. Sementara itu, Anugerah Peserta Terbaik menjadi milik Muhammad Zuhair Aiman Zalali dari SMK Agama Baling yang mencatat markah individu tertinggi sepanjang pertandingan berlangsung.

Sepanjang pertandingan akhir berlangsung, kesemua pasukan yang bertanding telah mempamerkan pengetahuan sejarah yang membanggakan, di samping menunjukkan semangat berpasukan, komitmen dan kesungguhan yang tinggi. Persaingan yang sengit antara sekolah turut membuktikan bahawa generasi muda mempunyai potensi besar dalam memahami serta menghayati sejarah negara.

Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Nornisa Asmaran.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sejarah memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri, semangat patriotisme dan identiti kebangsaan generasi muda.

Menurutnya, penguasaan ilmu sejarah menjadi semakin penting dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan. Justeru, generasi muda perlu memiliki kefahaman sejarah yang kukuh agar tidak terpisah daripada akar warisan dan identiti negara.

Sementara itu, Pengerusi PSMCK, Ts. Syamsyul Anuar Ismail berkata, penganjuran pertandingan ini bukan sekadar bertujuan menguji pengetahuan sejarah dalam kalangan pelajar, malah berperanan menyemai kesedaran tentang kepentingan memahami pengalaman masa lalu sebagai panduan membina masa depan yang lebih baik.

Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemahaman sejarah supaya generasi muda terus menghargai warisan, identiti dan jati diri negara. Menurutnya, sejarah bukan hanya berkaitan fakta dan tarikh, tetapi turut membentuk nilai, pemikiran serta keperibadian bangsa.

Kejayaan SMK Tengku Sharafudin Badlishah sebagai johan pertandingan ini sekali gus melayakkan sekolah tersebut menjadi wakil negeri Kedah ke pertandingan peringkat kebangsaan. – Dr. Aszlan Selamat dan Dr. Haslinda Hasan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button