SOE dan SEDA Malaysia bergabung tenaga pacu revolusi pendidikan peralihan tenaga demi masa depan komuniti lestari
Berita dan gambar Dr. Norasyikin Mohaiyuddin
PUTRAJAYA, 26 April 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju pendidikan apabila mengadakan lawatan strategik ke pejabat Sustainable Energy Development Authority atau lebih dikenali sebagai SEDA Malaysia di Putrajaya bagi menjalin kolaborasi dalam bidang pendidikan peralihan tenaga dan pembangunan komuniti lestari.

Delegasi SOE UUM diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman bersama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Norasyikin Mohaiyuddin serta Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan, Prof. Madya Dr. Sawan @ Mohammad Syawal Narawi bagi membuktikan komitmen institusi untuk memacu agenda pendidikan yang responsif terhadap cabaran global.
Pihak SEDA Malaysia pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hamzah Hussin; Ketua Pegawai Strategi, Saiful Hakim Abdul Rahman dan Dr. Muhazri Abd Mutalib sebagai penyelidik kanan agensi.
Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana konstruktif dan berfokus kepada pengukuhan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan agensi tenaga negara.

Dr. Mohamad Khairi berkata, objektif utama lawatan ini adalah untuk membina jaringan kolaborasi melalui pelaksanaan program komuniti, pembangunan modul pendidikan berteraskan tenaga lestari, serta penerokaan penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Menurutnya, inisiatif ini selari dengan keperluan mendesak untuk memperkasa masyarakat dalam menghadapi perubahan iklim dan transformasi ke arah ekonomi hijau.
Melalui sinergi ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan tenaga lestari dalam kalangan komuniti, di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan kapasiti komuniti, malah memperkukuhkan peranan pendidikan sebagai agen perubahan sosial.
Kolaborasi antara SOE UUM dan SEDA Malaysia ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan yang lebih dinamik, inklusif dan berorientasikan masa hadapan, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan lestari yang menyeluruh.



