SOG dan GSGSG turun padang buka peluang belajar tarik minat Kadet PTD
Berita dan gambar Dr. Nur’Jila Mohammad
KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026: Menyedari kepentingan pendidikan berterusan untuk bakal peneraju perkhidmatan awam, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dengan kerjasama Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi promosi program pascasiswazah di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.

Program itu menyasarkan kumpulan Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang kini sedang mengikuti pengajian Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPPA). Turut hadir ke program ini Ketua Unit Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam, Khairil Azwan Abu Mansor dan Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Akademik, INTAN, Kathleen Mujan Nandong.
Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf yang turut hadir menyantuni kadet PTD menekankan bahawa pihak universiti sentiasa berusaha memudahkan urusan pembelajaran penjawat awam.
“Kami memahami komitmen dan cabaran masa yang bakal dihadapi setelah diserapkan ke pelbagai kementerian dan agensi nanti.

“Oleh sebab itu, SOG UUM menawarkan peluang pengajian yang sangat fleksibel dan berpusatkan pelajar, supaya boleh menyeimbangkan antara tuntutan tugas sebagai PTD dan kemajuan akademik peribadi,” katanya.
Bagi memberi gambaran lebih jelas, sesi taklimat program telah disampaikan oleh Pengerusi Program Pascasiswazah, SOG, Dr. Nur’Jila Mohammad.
Beliau memperincikan pelbagai kelebihan praktikal jika para kadet memilih SOG UUM sebagai destinasi pengajian, antaranya struktur pembelajaran fleksibel, sesi pembelajaran dikendalikan oleh barisan pensyarah yang mahir dan berpengalaman serta kadar yuran kompetitif.
Sesi promosi akademik ini berjaya menarik minat dan penyertaan lebih 90 kadet PTD, sekali gus membuktikan kesedaran yang tinggi dalam kalangan bakal peneraju perkhidmatan awam terhadap kepentingan pendidikan berterusan.
Inisiatif SOG, GSGSG, dan UUM ini diyakini mampu melonjakkan kualiti modal insan perkhidmatan awam negara dengan melahirkan barisan PTD yang berpengetahuan tinggi, dinamik, dan bersedia mendepani cabaran tadbir urus moden.



