SOG santuni komuniti Kampung Lahar melalui Program Santai dan Silaturahim
Berita dan gambar Dr. Noor Hanis Zainol Abidin
JITRA, 9 Jun 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri Program Santai dan Silaturahim yang berlangsung di Dewan Kampung Lahar sebagai usaha memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

Kehadiran wakil SOG ke program tersebut merupakan kesinambungan kepada sesi perbincangan awal bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lahar yang telah diadakan sebelum ini bagi meneroka potensi kerjasama komuniti dan khidmat masyarakat.
SOG diwakili oleh Dr. Noor Hanis Zainol Abidin dan Dr. Suzylah Sohaimi, manakala komuniti Kampung Lahar diwakili oleh Mohd Fazlan Zakaria mewakili JPKKP Kampung Lahar; Pengerusi Women’s Institute (W.I.) Cawangan Kampung Lahar, Norziah Abdul dan penduduk kampung.
Pensyarah SOG,Dr. Noor Hanis berkata, program yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan itu berjaya menghimpunkan penduduk kampung serta pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti yang mengeratkan hubungan silaturahim.
Menurutnya, antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah pertandingan pakaian era 90-an yang berjaya menghidupkan suasana program dengan penuh keceriaan dan gelak tawa. Kreativiti peserta yang tampil dengan pelbagai gaya pakaian klasik turut menambahkan kemeriahan sepanjang program berlangsung.

Selain itu, program turut diisi dengan sesi ramah mesra, pertukaran hadiah serta perbincangan komuniti yang memberi peluang kepada warga SOG untuk lebih mengenali penduduk Kampung Lahar secara lebih dekat.
Program seperti ini dilihat penting dalam membina hubungan yang lebih akrab antara universiti dan komuniti kerana pendekatan secara santai dan tidak formal mampu mewujudkan suasana komunikasi yang lebih terbuka. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”, hubungan yang baik perlu dimulakan dengan interaksi dan penglibatan secara bersemuka bersama masyarakat.

Selain mengukuhkan silaturahim, kunjungan seperti ini juga membuka ruang kepada pelbagai potensi kerjasama pada masa hadapan melibatkan aktiviti komuniti, penglibatan pelajar serta program pembangunan sosial yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Pendekatan ini turut selari dengan konsep quadruple helix yang menekankan kerjasama antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti dalam usaha membangunkan masyarakat secara bersama dan lebih inklusif.



