Education

SOL teroka kerjasama strategik bersama KESUMA

Gambar Pejabat KESUMA

PUTRAJAYA, 7 Julai 2026: Satu kunjungan hormat yang produktif telah diadakan oleh delegasi dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Universiti Utara Malaysia ke pejabat Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), baru-baru ini.

Delegasi SOL telah diketuai oleh Dekan, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama-sama dengan Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi.

Kedatangan delegasi disambut dengan sangat baik oleh pegawai-pegawai KESUMA yang diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar Perburuhan KESUMA, Dr. Ajitpal Singh Santokh Singh. Turut hadir bersama dalam mesyuarat tersebut adalah wakil-wakil daripada Perbadanan Bakat Malaysia Berhad (TalentCorp), iaitu agensi di bawah KESUMA yang bertanggungjawab menerajui strategi bakat negara untuk memupuk, menarik, dan mengekalkan modal insan berkualiti serta memacu agenda masa depan kerja di Malaysia.

Sementara itu, KESUMA pula bertindak selaku kementerian peneraju yang bertanggungjawab dalam pembangunan tenaga kerja, pengurusan industri perburuhan, dan penguatkuasaan undang-undang pekerjaan negara.

Dr. Harlida  berkata, kunjungan hormat ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama strategik pelbagai hala antara kedua-dua organisasi tersebut.

Menurutnya, kunjung hormat ini akan menjadi pemula yang bermakna untuk jalinan kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.

Katanya, sesi perbincangan diakhiri dengan persetujuan bersama daripada kedua-dua pihak untuk memberikan komitmen padu demi merealisasikan hasrat dan langkah susulan yang telah dirancang.

“Perbincangan dalam pertemuan ini lebih menjurus kepada usaha kolaborasi yang membawa impak besar melalui penawaran program akademik khusus.

“Fokus utama diberikan kepada penawaran program Sarjana Undang-undang Sumber Manusia oleh SOL yang merupakan satu-satunya program pascasiswazah yang bersifat spesifik dan unik dalam konteks undang-undang sumber manusia di Malaysia,” katanya.

Program ini disasarkan khusus untuk meningkatkan kompetensi staf di KESUMA serta agensi-agensi di bawahnya. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan dengan mendalam ruang kerjasama dalam konteks perkembangan bakat pelajar SOL, terutamanya yang melibatkan pelajar daripada program Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB).

Kerjasama ini merangkumi peluang latihan industri (internship) di KESUMA dan TalentCorp, program penajaan (sponsorship), serta inisiatif kebolehpasaran graduan yang berkaitan bagi mempersiapkan pelajar LLB dan BPLB mendepani industri perburuhan sebenar.

Kunjungan hormat ini dijangka bakal memberikan manfaat bersama yang sangat signifikan kepada kedua-dua belah pihak.

Bagi KESUMA dan TalentCorp, kerjasama ini dapat meningkatkan profesionalisme serta kepakaran warga kerja dalam aspek perundangan buruh melalui program sarjana, sekali gus menyokong penggubalan dasar perburuhan negara yang lebih mantap, manakala bagi pihak SOL pula, keterlibatan aktif pelajar LLB dan BPLB ini membuka ruang integrasi akademik dengan industri secara praktikal, memperluas jaringan penyelidikan undang-undang gunaan, serta menyediakan platform kerjaya yang lebih luas untuk para pelajarnya sejurus tamat pengajian. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button