Education

Thinker’s Project Colloquium 2026 tonjolkan penyelesaian isu industri oleh pelajar BPLB

Berita dan Gambar: Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah

SINTOK, 16 Julai 2026: Program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB), Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Thinker’s Project Colloquium 2026 selama lima hari berturut-turut bermula 12 hingga 16 Julai 2026 sebagai platform akademik untuk pelajar tahun akhir membentangkan hasil penyelidikan Thinker’s Project (TP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh latihan industri.

TP merupakan komponen utama dalam kursus praktikum BPLB yang bertujuan mendedahkan pelajar kepada persekitaran kerja sebenar, di samping mengasah keupayaan mereka mengenal pasti, menganalisis dan mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi organisasi.

Sepanjang tempoh latihan industri selama empat bulan, pelajar ditempatkan di pelbagai organisasi awam dan swasta sebelum menghasilkan laporan penyelidikan berdasarkan isu sebenar yang dikenal pasti di organisasi berkenaan.

Kolokium yang berlangsung secara dalam talian melalui Webex itu menghimpunkan seramai 16 pelajar yang membentangkan dapatan penyelidikan masing-masing yang merangkumi pelbagai bidang seperti tadbir urus korporat, sumber manusia, undang-undang imigresen, undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, teknologi digital, pengurusan risiko, pencegahan pengubahan wang haram, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta etika perniagaan.

Keunikan kolokium ini ialah setiap pelajar dibimbing secara rapat oleh Profesor Perunding (Consulting Professor) masing-masing sebelum membentangkan hasil penyelidikan di hadapan panel yang terdiri daripada profesor dan ahli akademik berpengalaman.

Pendekatan ini mewujudkan suasana akademik yang menyerupai viva voce di peringkat pascasiswazah, sekali gus membudayakan pemikiran kritis, hujah berasaskan bukti dan perbincangan ilmiah dalam kalangan pelajar prasiswazah.

Pengerusi Program BPLB yang juga merupakan hos bagi kolokium ini, Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah berkata TP Colloquium merupakan kemuncak kepada proses pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang menjadi identiti program BPLB.

“Thinker’s Project bukan sekadar memenuhi keperluan latihan industri, tetapi menjadi platform untuk pelajar mengaplikasikan ilmu falsafah, undang-undang dan perniagaan dalam menyelesaikan isu sebenar organisasi. Melalui kolokium ini, mereka bukan sahaja berkongsi dapatan penyelidikan, malah mempertahankan analisis dan cadangan penambahbaikan secara profesional di hadapan panel akademik. Saya turut ingin merakamkan apresiasi kepada pelajar BPLB kerana senantiasa menjadi kebanggaan SoL dan mendapat pujian daripada majikan tempat latihan industri mereka. Segala ilmu dipelajari sepanjang menjadi pelajar BPLB selama hampir empat tahun diaplikasikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan model bimbingan Profesor Perunding membuktikan kepentingan hubungan mentor-mentee dalam pembangunan pelajar secara holistik. Sehubungan itu, program bimbingan mentor-mentee Profesor Perunding akan diperkasakan lagi bermula Semester A261 bagi memperkukuh pembangunan akademik, profesional dan kerjaya pelajar BPLB sedari semester pertama pengajian.

Tambah beliau, pendekatan ini selari dengan aspirasi BPLB untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik, malah mampu berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah secara beretika serta bersedia memenuhi keperluan industri.

TP Colloquium 2026 sekali lagi membuktikan komitmen BPLB dalam menyediakan pengalaman pembelajaran berimpak tinggi melalui kerjasama erat antara universiti, profesor dan industri bagi melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan siap siaga memimpin perubahan.

Dalam ucapan penutup, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab turut menitipkan pesanan dan nasihat berguna kepada pelajar BPLB:

“Walaupun sesi pembentangan telah selesai, perjalanan akademik anda masih belum berakhir. Pastikan laporan bertulis disiapkan sebaik mungkin dan semua tarikh akhir yang telah ditetapkan dipatuhi supaya anda dapat bergraduasi dengan jayanya. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar dan semoga anda terus berjaya apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button