Education

UUM perkukuh jaringan akademik serantau melalui program kerjasama akademik dan khidmat masyarakat antarabangsa Malaysia-Indonesia-Thailand

Berita dan gambar oleh: Mohd Khairil Hazree Hairudin

SINTOK, 4 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmen memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti melalui penganjuran Program Kerjasama Akademik dan Khidmat Masyarakat Antarabangsa Malaysia-Indonesia-Thailand yang berlangsung pada 4 hingga 5 Ogos 2026 bertempat di Kampus UUM dan Kampung Acheh, Yan, Kedah.

Program anjuran bersama Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah ini menghimpunkan enam buah universiti antarabangsa dan tempatan dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan serta khidmat masyarakat.

Delegasi universiti Indonesia yang menyertai program ini terdiri daripada lima buah universiti iaitu Universitas Teuku Umar, Universitas Halu Oleo, Universitas Malikussaleh, Universitas Riau dan Universitas Syiah Kuala.

Manakala Prince of Songkla University, Kampus Pattani mewakili Thailand, sementara Malaysia diwakili oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Majlis perasmian program telah berlangsung di Auditorium SOIS, UUM Sintok pada 4 Ogos 2026 dan disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani serta delegasi tertinggi daripada universiti-universiti yang terlibat.

Turut hadir ialah Rektor Universitas Teuku Umar, Prof. Dr. Nyak Amir, S.Pd., M.Pd. yang mengetuai delegasi universiti berkenaan.

Selepas majlis perasmian, sesi perbincangan strategik bersama wakil universiti terlibat turut diadakan bagi meneroka potensi kerjasama baharu yang mampu memperkukuhkan hubungan institusi pendidikan tinggi antara Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Perbincangan tersebut memberi fokus kepada pembangunan jaringan akademik rentas sempadan, perkongsian kepakaran, peluang penyelidikan kolaboratif serta pengukuhan hubungan serantau melalui inisiatif pendidikan tinggi yang mampan.

Menurut pihak penganjur, program ini bukan sahaja menjadi platform memperluas hubungan akademik antara universiti terlibat, malah turut memainkan peranan penting dalam mempererat hubungan diplomasi pendidikan dan hubungan masyarakat antara tiga negara serumpun.

Sementara itu, pada 5 Ogos 2026, delegasi program akan meneruskan agenda melalui aktiviti khidmat masyarakat antarabangsa di Kampung Acheh, Yan, Kedah yang melibatkan penyertaan bersama semua universiti dari Indonesia dan Thailand serta Universiti Putra Malaysia.

Program khidmat komuniti tersebut mencerminkan komitmen institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan peranan universiti melalui pendekatan University Social Responsibility (USR) dengan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat melalui perkongsian ilmu, interaksi budaya dan aktiviti kemasyarakatan.

Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memperkukuhkan kedudukan sebagai universiti berorientasikan global melalui kerjasama strategik antarabangsa, pembangunan penyelidikan berimpak tinggi serta jaringan akademik yang memberi manfaat kepada komuniti serantau.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button