Education

UUM–Sociopreneur Indonesia jalin kerjasama strategik perkasa keusahawanan sosial serantau

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 18 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama organisasi keusahawanan sosial terkemuka Indonesia, Sociopreneur Indonesia (SID), dalam satu majlis yang berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori, UUM.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang mewakili Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerjasama ini selaras dengan aspirasi UUM untuk memperluaskan pengaruh antarabangsa dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pembangunan keusahawanan sosial di rantau ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada SID atas kesediaan menjalinkan kerjasama strategik yang berteraskan inovasi, pembangunan komuniti dan impak sosial.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sociopreneur Indonesia, Dr. Dessy Aliandrina menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu langkah penting dalam memperluaskan ekosistem keusahawanan sosial rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut beliau, gabungan kepakaran akademik UUM dan pengalaman SID dalam membangunkan perusahaan sosial akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia dan komuniti untuk mencipta impak yang mampan.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai inisiatif termasuk pembangunan modul latihan keusahawanan sosial, program mobiliti pelajar dan komuniti, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah serta pelaksanaan projek berasaskan komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat di kedua-dua negara.
Kerjasama ini turut memperkukuh komitmen UUM dan SID dalam melahirkan lebih ramai usahawan sosial yang mampu menangani cabaran masyarakat melalui pendekatan inovatif, mampan dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi serantau.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button