UUM terima Geran Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat dalam Kefungsian Sosial daripada ISM
Berita dan gambar Dr. Nurfadilah Saadul Kurzi
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026: Pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima geran penyelidikan bertajuk Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dalam Kefungsian Sosial daripada Institut Sosial Malaysia (ISM) bernilai RM45,000.
Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) telah disempurnakan oleh Pengarah ISM, Norhaslinda Mohd Sibi bersempena Mesyuarat Kick-Off bagi Kajian Institut Sosial Malaysia Tahun 2026.

Kajian ini diketuai oleh Dr. Aidanajwa Sabri dan melibatkan lima ahli penyelidik lain daripada UUM iaitu Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Prof. Madya Ts. Dr. Azlizan Talib, Dr. Nurfadilah Saadul Kurzi dan Dr. Nor Suzylah Sohaimi.
Dr. Aidanajwa berkata, kajian ini bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan PKM dari aspek struktur, proses penyeliaan, kualiti intervensi dan hasil pemulihan sosial pelatih.
Menurutnya, kajian ini turut memberi tumpuan kepada pengenalpastian jurang antara pematuhan jam agregat dengan hasil pemulihan sebenar, serta keperluan intervensi berstruktur bagi menyokong pembangunan sahsiah, kemahiran, kebolehpasaran dan reintegrasi komuniti.
Pelaksanaan kajian ini adalah bagi tempoh lima bulan bermula Jun hingga November 2026 dan sepanjang tempoh tersebut, pasukan penyelidik akan menjalankan kajian, pengumpulan data kualitatif dan kuantitatif, analisis lapangan, libat urus bersama pemegang taruh serta menyediakan cadangan model strategik bagi memperkukuhkan pelaksanaan PKM pada masa hadapan.
Kajian ini akan dilaksanakan dengan pendekatan bersepadu yang merangkumi analisis jurang, penandaarasan perbandingan serta pembangunan model strategik.
Liputan penyelidikan turut melibatkan pelbagai zon dan pemegang taruh termasuk penyelaras PKM, penyelia lapangan, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai psikologi, bekas pelatih PKM, agensi sokongan, komuniti, NGO dan majikan.

Mesyuarat kick-off tersebut turut diwakili oleh beberapa agensi, jabatan dan institusi berkaitan, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Institut Sosial Malaysia (ISM).
Kehadiran wakil daripada pelbagai agensi dan institusi ini menjadi platform awal bagi menyelaras hala tuju, skop kerja, pendekatan kajian, instrumen penyelidikan serta jangkaan hasil yang akan dibangunkan sepanjang tempoh pelaksanaan kajian.
Dr. Aidanajwa berkata, pelantikan ini merupakan satu kepercayaan penting daripada ISM kepada kepakaran penyelidik UUM dalam menyumbang kepada penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program sosial negara.
“Pasukan penyelidik berharap kajian ini dapat menghasilkan bukti empirikal yang kukuh bagi memperkasa pelaksanaan PKM sebagai satu mekanisme pemulihan sosial yang lebih berkesan, berperikemanusiaan dan berimpak tinggi.
“Kajian ini dijangka menghasilkan bukti empirikal yang dapat membantu penambahbaikan pelaksanaan PKM secara lebih holistik, berperikemanusiaan dan berimpak tinggi dalam kerangka keadilan restoratif,” katanya.
Pelaksanaan geran penyelidikan ini turut mencerminkan peranan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang aktif menyumbang kepakaran akademik dan penyelidikan dalam menyokong pembangunan dasar sosial, pemulihan komuniti serta kesejahteraan masyarakat.
Dapatan kajian ini diharap dapat menjadi asas kepada pembangunan model strategik PKM yang lebih berfokus, praktikal dan berkesan dalam memperkukuh sistem pemulihan sosial serta mengurangkan risiko pengulangan kesalahan.



