Education

UUM teroka kerjasama akademik dengan Altai State Pedagogical University, Rusia

Berita dan gambar Dr. Noor Asbahan Shahizan

TANJUNG MALIM, 7 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah mengadakan perbincangan bersama delegasi daripada Altai State Pedagogical University (AltSPU), Rusia bagi meneroka potensi kerjasama akademik antara kedua-dua universiti.

Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada perancangan strategik aktiviti bersama, khususnya berkaitan pembangunan program bahasa, pendidikan, mobiliti akademik serta cadangan penubuhan pusat pembelajaran bahasa Rusia di UUM.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie menyambut baik hasrat pihak AltSPU untuk meneroka kerjasama dengan UUM dan menyifatkan perbincangan tersebut sebagai langkah awal yang positif dalam memperluas jaringan antarabangsa universiti, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi di Rusia.

Menurutnya, kolaborasi ini berpotensi membuka ruang kepada pelaksanaan program akademik dan kebudayaan yang lebih luas, termasuk mobiliti pelajar dan staf, pertukaran kepakaran, program bahasa Rusia serta kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Turut hadir mewakili SLCP ialah Ketua Jawatankuasa MoU dan Pengantarabangsaan SLCP, Dr. Mohd Zulfahmi Mohamad; Pengerusi Program Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA), Norzanita Othman serta Pengurus Professional Development Unit (PDU), SLCP, Dr. Noor Asbahan Shahizan.

Delegasi AltSPU, Rusia pula diwakili oleh Ketua Centre for Open Education AltSPU di Malaysia, Prof. Madya Alexandra Vladimirovna Semkina dan Alexander Alexandrovich Seleznev.

Menerusi surat jemputan rasmi bertarikh 30 Jun lalu, AltSPU menjemput wakil UUM untuk menyertai mesyuarat kerja bagi membincangkan perancangan strategik aktiviti bersama dengan Pusat Pendidikan Terbuka Bahasa Rusia dan Pengajaran Bahasa Rusia di Malaysia termasuk perincian praktikal bagi penubuhan cawangan pusat tersebut di UUM.

Pihak Rusia turut menyatakan harapan agar delegasi UUM dapat mengadakan lawatan susulan ke Rusia bagi memperincikan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua institusi.

Jemputan ini turut berkait rapat dengan agenda kerjasama Malaysia–Rusia melalui Mesyuarat Ke-5 Suruhanjaya Bersama Malaysia–Persekutuan Rusia Mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JC-ESTC) yang dijadualkan berlangsung di Vladivostok, Rusia pada 7 hingga 10 Ogos 2026.

UUM melihat potensi kerjasama ini sebagai satu peluang strategik untuk memperkukuh hubungan akademik, bahasa dan budaya antara Malaysia dan Rusia, di samping meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button