Senang beli, susah bayar, hutang keliling pinggang
SINTOK, 13 April 2025: Kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) makin popular, terutamanya dalam kalangan anak muda. Sekali imbas, ia nampak seperti penyelamat kewangan beli barang dulu, bayar kemudian. Tapi, di sebalik kemudahan ini, ada risiko besar yang sedang menanti jika tidak digunakan dengan bijak.
Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Dr. Siti Hajar Salwa Ahmad Musadik berkata, kemudahan BNPL sebenarnya ada memberi kebaikan dan juga kesan yang tidak baik kepada para pengguna.
Fungsi BNPL itu sebenarnya sangat baik cuma menjadi isu bila tiada garis panduan yang efektif dalam pelaksanaannya. Penggunaanya yang mudah diakses dan pembayaran yang dibuat secara ansuran mendorong pengguna untuk berbelanja secara berlebihan.
“Kita rasa beban kewangan ringan sebab bayar sikit-sikit. Tapi sebenarnya, kita dah tambah hutang yang banyak tanpa sedar.
“Masalah paling ketara berlaku dalam kalangan remaja yang masih belum matang dalam membuat keputusan kewangan. Mereka terpengaruh dengan trend misalnya mahu pakai baju raya mahal-mahal, telefon pintar, dan barangan ‘viral’.
“Bila tak mampu bayar, hutang mula menimbun. Tekanan mula menghimpit. Malah bagi segelintir orang, BNPL kini sudah menjadi salah satu komitmen bulanan yang mana terdapat nilai bulanan hampir RM500 ke atas.
“Tanpa ilmu kewangan, hutang boleh jadi racun. Sekali terjerat, susah nak keluar,” katanya.
Ramai yang terpedaya dengan janji manis seperti tiada faedah, mudah lulus, tiada bayaran awal. Tapi apabila lewat bayar walau sehari, caj penalti dikenakan. Kalau terus tangguh, jumlah hutang jadi berganda.
Lebih membimbangkan, ada platform BNPL yang tidak patuh syariah dan mengandungi unsur riba. Ada yang langsung tak tahu, dia telah guna BNPL yang haram dari segi syariah,” tambahnya.
Tanpa perancangan, pengguna jadi leka. Mereka lupa menyimpan, abaikan bajet, dan mula bergantung sepenuhnya kepada BNPL. Apa sahaja yang dihajati, terus beli. Akhirnya, akaun bank kosong, hutang penuh di sana sini. Duit belum masuk, komitmen sudah berlambak.
Seorang pelajar berkongsi kisahnya:
“Mula-mula seronok sebab boleh beli apa yang saya nak. Tapi satu hari saya lupa bayar, denda terus masuk RM10. Sejak tu, saya mula sedar… BNPL bukan main-main.”
“Sistem ini boleh jadi berguna, kalau kita bijak. Tapi boleh jadi perangkap kalau kita leka dan ikut nafsu.
Apa yang patut kita buat? tanya diri dulu, perlu ke barang tu, atau sekadar ikut trend? buat bajet bulanan, pastikan ada simpanan, bukan sekadar cukup-cukup makan.
Bayar tepat pada masanya, jangan tunggu saat akhir kerana denda itu menyakitkan dan paling penting pastikan transaksi bebas riba dan jelas hukumnya.
Jadi, berbelanja ikut keperluan, bukan ikut nafsu. Jangan sampai kemudahan hari ini menjadi beban yang menyesakkan.