Batik Tanah Lembah Bujang perkasa komuniti dan warisan di Karnival Santai Belia X Pekan Rabu
Berita dan gambar oleh: Dr. Asmidah Alwi
ALOR SETAR, 6 Jun 2026: Batik Tanah Lembah Bujang (BTLB), produk batik inovatif terbaharu yang dibangunkan oleh Pusat Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, School of Creative Industry Management and Performing Arts (SCIMPA), berjaya mencuri perhatian pengunjung sempena Karnival Santai Belia X Pekan Rabu yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun lalu.
Sepanjang karnival tersebut, BTLB terlibat secara aktif melalui pertunjukan fesyen, selain mengadakan pameran dan jualan produk batik tanah, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali keunikan batik yang diinspirasikan daripada warisan geoarkeologi dan sejarah Lembah Bujang.

BTLB merupakan hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh SCIMPA di bawah Geran TRANS, melalui kerjasama strategik bersama Koperasi Usahawan Pelancongan Lembah Bujang (KUSPEL).
Projek ini bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan produk kreatif beridentitikan warisan tempatan, malah dilaksanakan melalui pendekatan projek komuniti (community work) yang melibatkan pemerkasaan komuniti setempat, khususnya usahawan dan penggiat pelancongan di kawasan Lembah Bujang.
Pendekatan komuniti yang diterapkan dalam projek ini bertujuan memastikan ilmu, kemahiran dan manfaat hasil penyelidikan universiti dapat dipindahkan secara langsung kepada masyarakat.

Melalui latihan, bengkel, pembangunan produk dan penglibatan bersama komuniti, projek BTLB berusaha membuka peluang ekonomi baharu serta memperkukuh identiti budaya tempatan melalui penghasilan produk kreatif yang mempunyai nilai komersial.
Menurut Ketua Projek, Dr. Asmidah Alwi, penyertaan BTLB dalam pertunjukan fesyen serta pameran dan jualan tersebut secara tidak langsung menjadi platform penting untuk memperkenalkan lagi batik tanah kepada masyarakat umum.
Beliau berkata, penglibatan ini bukan sahaja membuka ruang promosi kepada produk BTLB, malah memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kaedah penghasilan batik tanah yang unik dan berbeza daripada teknik batik canting konvensional.

“Ramai pengunjung menunjukkan minat terhadap proses penghasilan batik tanah, terutama apabila mereka dapat melihat demonstrasi secara lansung. Ini memberi pengalaman baharu kepada masyarakat untuk memahami bagaimana elemen tanah digunakan dalam penghasilan corak batik,” katanya.
Demonstrasi pembuatan batik tanah yang diadakan sepanjang karnival turut menarik perhatian pengunjung pelbagai peringkat umur yang mengambil peluang untuk mencuba sendiri proses pengahsilan batik tersebut selain berinteraksi dengan penyelidik serta komuniti pengusaha BTLB bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai proses, bahan dan nilai estetika yang diketengahkan.
Keunikan motif BTLB yang diinspirasikan daripada elemen geo-arkeologi, batuan purba, flora dan fauna Lembah Bujang turut menjadi antara faktor utama yang menarik perhatian pengunjung.

Setiap rekaan membawa identiti tersendiri yang mengangkat kekayaan sejarah dan warisan kawasan Lembah Bujang, sekali gus menjadikan BTLB bukan sekadar produk tekstil, tetapi medium penceritaan budaya dan khazanah tempatan.
Penyertaan dalam pertunjukan fesyen pula memperlihatkan potensi besar BTLB untuk diketengahkan dalam industri fesyen kreatif, khususnya dalam menghasilkan produk berteraskan warisan tempatan yang mempunyai nilai estetika tinggi serta berpotensi menjana ekonomi komuniti.

Penglibatan BTLB dalam program ini turut mendapat dokongan daripada Institut Pengurusan Industri Kreatif dan Budaya Lestari (ICIMSC) yang sentiasa komited menyokong usaha pembangunan industri kreatif berasaskan penyelidikan, inovasi dan pemeliharaan warisan budaya tempatan.
Program ini turut dihadiri Dekan SCIMPA, Prof. Madya Dr. Ruzinoor Che Mat, dan Pengarah CACE Dr. Mohd Fitri Yusof sebagai tanda sokongan kepada projek BTLB.
Melalui penyertaan seperti ini, BTLB diharap dapat terus memperluaskan jaringan kolaborasi industri dan komuniti, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap produk kreatif beridentitikan warisan, serta memperkukuhkan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti dan ekonomi kreatif negara.



