General

80 log kelulut berjaya dipasang perkukuh keusahawanan BAKAT – Program ekonomi madani penternakan kelulut 2026

Gambar oleh: Syahrina Abdullah

BUKIT KAYU HITAM – Program Knowledge Transfer Programme (KTP) Ekonomi MADANI: Penternakan Kelulut 2026 mencapai satu lagi pencapaian penting apabila sebanyak 80 log kelulut berjaya dipasang di tapak penternakan kelulut Kem Batalion Rejimen Sempadan 5 (RS5) di Bukit Kayu Hitam oleh kumpulan penyelidik UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie, Dr. Mohamad Faizal bin Abd. Matalib dan Syahrina binti Abdullah.

Turut hadir bagi menyaksikan proses pemasangan tersebut ialah Pegawai Memerintah (CO) Kem RS5, Leftenan Kolonel Nor Hishamudin bin Ahmad serta timbalannya dan beberapa anggota serta Naib Pengerusi BAKAT Kem RS5, Shah Nurhidayu Shahbuddin dan beberapa ahli BAKAT Kem RS5.

Proses pemasangan yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 7.00 petang, melibatkan kerjasama erat antara kumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), pihak pengurusan Kem Batalion Rejimen Sempadan 5 dan anggota tentera serta pembekal log kelulut yang berganding bahu bagi memastikan setiap log dipasang dengan sempurna di kawasan ternakan yang telah dikenal pasti.

Menurut ketua penyelidik Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj Rofie, proses pemasangan log kelulut merupakan antara agenda terpenting dalam pelaksanaan Program KTP Ekonomi MADANI kerana ia menjadi asas kepada Pembangunan dan pelaksanaan projek penternakan kelulut yang mampan di Kem RS5.

“Pemasangan log kelulut ini merupakan satu fasa yang sangat penting bagi menjayakan program KTP ini.  Selepas semua log dipasang, proses pemindahan ilmu meliputi penjagaan koloni, pengurusan kebersihan kawasan ternakan dan teknik penuaian madu akan dilaksanakan secara amali bagi membolehkan peserta BAKAT mempraktikkan kemahiran tersebut secara langsung di kawasan ternakan. Pada masa yang sama, pemantauan secara berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan koloni kelulut dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Dengan keadaan kawasan ternakan yang dipenuhi pelbagai spesies pokok berbunga dan kaya dengan sumber nektar, kami berharap koloni kelulut dapat berkembang dengan baik serta menghasilkan madu yang berkualiti seperti yang disasarkan, ujarnya.”

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan sesuatu projek penternakan kelulut bukan sahaja bergantung kepada pemasangan log, malah memerlukan ilmu penternakan dari sudut penjagaan, pemantauan dan pengurusan koloni secara sistematik bagi memastikan kadar kelangsungan hidup kelulut berada pada tahap optimum.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah (CO) Kem RS5, Leftenan Kolonel Nor Hishamudin bin Ahmad melahirkan rasa penghargaan kepada pasukan penyelidik UUM atas komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

“Saya amat berpuas hati dengan kesungguhan, komitmen dan kepakaran yang ditunjukkan oleh pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM). Saya mengikuti sendiri perjalanan program ini sejak peringkat awal perancangan sehinggalah proses pemasangan log kelulut. Kerjasama strategik antara UUM dan Kem RS5 Bukit Kayu Hitam ini diyakini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada warga kem, khususnya dalam membangunkan penternakan kelulut secara mampan. Sebelum ini, saya lebih mengenali UUM sebagai sebuah universiti yang cemerlang dalam bidang pengurusan. Namun, program ini telah membuktikan bahawa UUM turut memiliki kepakaran dalam bidang penternakan kelulut. Keupayaan pasukan penyelidik UUM berkongsi ilmu, pengalaman dan teknologi secara profesional memberi keyakinan bahawa universiti ini mampu menjadi rujukan dalam pembangunan industri kelulut,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi BAKAT Kem RS5, Shah Nurhidayu Shahbuddin, berharap semua ahli BAKAT yang dipilih menyertai program ini dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang projek berlangsung.

“Saya berharap semua peserta daripada kalangan ahli BAKAT dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini. BAKAT amat berbesar hati kerana berpeluang menimba ilmu daripada kumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berpengalaman, mesra serta sentiasa komited dalam membimbing peserta. Penternakan kelulut mempunyai potensi yang besar sebagai sumber pendapatan sampingan, khususnya kepada ahli-ahli BAKAT yang majoritinya merupakan suri rumah sepenuh masa. Diharapkan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga”.

Inisiatif strategik ini mendapat pendanaan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan kerjasama Kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Pusat Jaringan Universiti Industri (CUIC), UUM. Pihak BAKAT Kem RS5 turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UUM atas kesudian menjayakan program ini dan berharap agar lebih banyak program kerjasama berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan demi manfaat bersama.

Program KTP Ekonomi MADANI Penternakan Kelulut 2026 merupakan inisiatif pemindahan ilmu antara Universiti Utara Malaysia dengan komuniti yang bertujuan memperkasakan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan peserta dalam bidang penternakan kelulut. Selain meningkatkan penguasaan teknologi penternakan, program ini turut menyokong agenda pemerkasaan ekonomi komuniti melalui penghasilan madu kelulut yang berkualiti dan berdaya saing.

Dengan selesainya pemasangan kesemua 80 log kelulut, projek kini memasuki fasa pemantauan dan penyelenggaraan koloni sebelum peserta menjalani latihan lanjutan berkaitan pengurusan koloni, penuaian madu dan pemasaran produk sebagai persediaan ke arah menjadikan penternakan kelulut sebagai sumber ekonomi yang mampan- Dr. Mohamad Faizal. – Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button