General

JKKP nilai kesahan serta kebolehgunaan Prototaip Smart Egonomics Risk Assessment (SMART ERA) UUM

Gambar oleh: Muhammad Khairul Amri Ahmad & Muhammad Haniff Umar Muhamad Tarmizi

SINTOK, 26 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pasukan penyelidiknya telah menganjurkan sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) bagi menilai kesahan kandungan, kebolehgunaan dan kebolehpercayaan prototaip aplikasi digital Smart Ergonomic Risk Assessment (Smart ERA).

Dibangunkan menerusi Geran Penjanaan Penyelidikan (Berimpak Tinggi), Smart ERA merupakan alat penaksiran awal risiko ergonomik yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti terimbuh (AR). Aplikasi ini dibangunkan bagi membantu pihak industri mengenal pasti dan menaksir enam faktor risiko ergonomik di tempat kerja secara lebih sistematik, pantas dan mesra pengguna.

Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat CEDI, UUM Sintok itu menghimpunkan panel pakar daripada agensi kerajaan dan industri yang mempunyai autoriti teknikal, kepakaran serta pengalaman luas dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya penaksiran risiko ergonomik.

Panel pakar terdiri daripada wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah, Mohd Zulhaimi Yusof; JKKP Perlis, Ts. Mohd Fiqri Mohd Hanafi; dan JKKP Pulau Pinang, Ts. Mazlina Yusof. Turut serta ialah wakil Sime Darby Auto-Engineering Sdn. Bhd., Ahmad Norhafizi Muhammad Radzi, yang juga alumni program Sarjana Sains Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM.

Ketua penyelidik, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly, yang juga Felo Penyelidik IBCSI UUM dan Felo Penyelidik Bersekutu PKKPK UUM, memulakan sesi FGD dengan memberikan taklimat mengenai tatacara penggunaan Smart ERA. Beliau turut membentangkan hasil pengujian aplikasi yang telah dilaksanakan di lapangan.

“Smart ERA dibangunkan bagi membantu pengguna mengenal pasti faktor risiko ergonomik secara lebih sistematik, pantas dan mesra pengguna dengan bantuan teknologi AI. Aplikasi ini bukan bertujuan menggantikan peranan Ergonomics Trained Person (ETP), sebaliknya berfungsi sebagai alat sokongan yang memberikan nilai tambah kepada proses penaksiran awal risiko ergonomik, khususnya dari segi kecekapan, ketepatan dan penyediaan maklumat bagi membantu tindakan susulan yang lebih berkesan,” katanya.

Hasil perbincangan mendapati semua panel pakar mencapai kata sepakat bahawa kandungan Smart ERA mempunyai kesahan yang baik dan sesuai digunakan bagi tujuan penaksiran awal risiko ergonomik. Pada masa yang sama, panel turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan terhadap aplikasi tersebut, antaranya meningkatkan kejelasan imej, menambah bahagian berkaitan prosedur kerja serta membolehkan laporan penaksiran dijana dalam bentuk infografik.

Mohd Zulhaimi berkata, aplikasi yang dibangunkan berasaskan Garis Panduan Penaksiran Risiko Ergonomik di Tempat Kerja 2017 terbitan JKKP itu berpotensi digunakan sebagai alat penaksiran risiko ergonomik kerana semua faktor risiko yang digariskan telah diintegrasikan ke dalam aplikasi berkenaan.

Ts. Mazlina pula menyifatkan pembangunan Smart ERA sebagai satu usaha yang baik untuk memudahkan proses penaksiran awal risiko ergonomik menerusi penggunaan teknologi terkini.

“Laporan penaksiran risiko yang dijana oleh Smart ERA boleh terus digunakan sebagai rujukan kerana hasilnya sejajar dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh JKKP,” katanya.

Bagi Ts. Mohd Fiqri, prototaip Smart ERA merupakan satu permulaan yang baik dan mempunyai potensi untuk dikomersialkan oleh UUM selepas melalui beberapa penambahbaikan.

“Dengan beberapa penambahbaikan, saya yakin aplikasi ini berpotensi untuk dikomersialkan dan ditawarkan kepada pengguna melalui platform digital seperti Google Play Store dan Apple App Store,” katanya.

Dari perspektif industri, Ahmad Norhafizi berpandangan bahawa Smart ERA bukan sahaja sesuai digunakan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), malah berpotensi menarik minat syarikat pembuatan berskala besar.

“Aplikasi ini boleh digunakan secara dalaman oleh penyelia pengeluaran untuk mengenal pasti postur janggal dalam kalangan pekerja semasa melaksanakan tugasan. Maklumat yang diperoleh seterusnya dapat membantu pihak pengurusan mengambil tindakan kawalan yang bersesuaian dengan lebih cepat,” katanya.

FGD berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pembangunan dan pengesahan Smart ERA sebelum prototaip itu melalui peringkat penambahbaikan, pengujian semula di lapangan, penilaian kebolehgunaan dan pengesahan akhir.

Pembangunan Smart ERA mencerminkan komitmen UUM dalam menterjemahkan kepakaran penyelidikan kepada penyelesaian teknologi yang praktikal dan berimpak kepada industri. Inovasi ini diharapkan dapat membantu industri mengenal pasti risiko ergonomik lebih awal, seterusnya memperkukuh usaha pencegahan gangguan muskuloskeletal berkaitan pekerjaan serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan pekerja.  -Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button