Naib Canselor UUM dilantik Penaung Kelab Media Elit Kedah
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 6 Februari 2025: Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah dilantik sebagai Penaung Kelab Media Elit Kedah (KMEK) bagi penggal 2025 hingga 2027.
Beliau menerima surat lantikan tersebut yang disampaikan Presiden KMEK, Adie Suri Zulkeflli pada kunjungan hormat KMEK di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.
Dr. Mohd Foad merakamkan penghargaan kepada KMEK atas pelantikan beliau sebagai penaung kelab dan berharap dapat menyumbang idea dan pandangan demi kemajuan bersama.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama antara KMEK dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.
Dr. Mohd Foad turut mempelawa KMEK untuk menganjurkan acara sukan khususnya golf yang melibatkan ahli kelab dan juga pemain dari UUM, malah beliau menawarkan KMEK untuk menggunakan padang golf dan fasiliti yang terdapat di UUM.
Selain itu, beliau mengajak KMEK untuk mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau mana-mana aktiviti yang melibatkan ahli KMEK dan pelajar UUM khususnya.
Beliau berharap dengan adanya kerjasama ini akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.
Sementara itu, Adie Suri telah menjemput Naib Canselor untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KMEK yang akan dilangsungkan pada 21 Februari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Kori Ariff dan ahli jawatankuasa kelab, Mohd Rafie Azimi dan Ahmad Mukhsein Mukhtar.