Taklimat strategi penggunaan pinjaman LPPSA oleh MyPusaka
Berita dan gambar oleh: Muhammad Nazmi Bin Abdullah Thani
SINTOK, 25 Jun 2026: seramai 40 orang staf Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Taklimat Khas Manfaat dan Strategi Pinjaman Perumahan LPPSA yang dianjurkan secara bersama oleh Unit I-Wealth, Islamic Business School (IBS), UUM dan MyPusaka.
Program yang berlangsung di Dewan Seminar B, Pusat Konvensyen UUM ini bertujuan memberikan pendedahan kepada warga universiti mengenai manfaat, syarat kelayakan serta strategi penggunaan Pinjaman Perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi membantu mereka membuat perancangan kewangan dan pemilikan hartanah yang lebih berkesan.

Taklimat telah disampaikan oleh Tn. Kamarul Azman, Ketua Pegawai Eksekutif MyPusaka, yang berkongsi pelbagai maklumat berkaitan tujuh jenis kegunaan pinjaman LPPSA, asas kelayakan permohonan, kesilapan lazim dalam pembelian rumah serta strategi asas pembelian hartanah untuk meningkatkan nilai pemilikan aset.
Peserta turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pengurusan pinjaman LPPSA dengan sesi soal jawab ketika program disamping pihak MyPusaka juga turut menyediakan platform atas talian untuk peserta mengemukakan soalan dan juga permasalahan berkenaan LPPSA.

Program ini berjaya meningkatkan pemahaman peserta mengenai peluang dan manfaat yang ditawarkan oleh LPPSA serta membantu mereka merancang pembelian hartanah dengan lebih yakin dan strategik.
Selain memberi nilai tambah kepada staf UUM dalam aspek literasi kewangan dan pemilikan aset, penganjuran program ini turut mengukuhkan kerjasama antara UUM dan pihak industri dalam usaha memperkasa pengetahuan masyarakat berkaitan perancangan kewangan, hartanah dan pembinaan legasi yang mampan.



