General

STML 5KM ECOSPRINT 2026 semarakkan gaya hidup sihat dan kesedaran alam sekitar

Gambar oleh:  Sekretariat STML Green Carnival 2026

SINTOK, 24 Jun 2026 – Program STML 5KM ECOSPRINT 2026 telah berjaya dianjurkan dengan meriah di Foyer School of Technology Management and Logistics (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena STML Green Carnival yang diadakan bersempena sambutan World Environment Day.

Program yang berlangsung bermula 7.00 pagi hingga 10.00 pagi ini berjaya menghimpunkan penyertaan yang memberangsangkan daripada pelajar serta warga Universiti Utara Malaysia.

Penganjuran STML 5KM ECOSPRINT bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat, menggalakkan penyertaan dalam aktiviti rekreasi serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

Larian sejauh lima kilometer ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menguji ketahanan fizikal dan mental, malah turut menjadi medium bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus.

Di samping memperoleh pengalaman menyertai acara larian yang dianjurkan secara profesional, para peserta juga berpeluang memperoleh mata merit sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum universiti.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan program, pertandingan turut menawarkan hadiah wang tunai kepada peserta Pakej A bagi kategori Lelaki dan Wanita. Juara bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, diikuti naib juara RM70, manakala tempat ketiga menerima RM50.

Penganjuran STML 5KM ECOSPRINT 2026 mencerminkan komitmen School of Technology Management and Logistics dalam menyokong usaha universiti melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mengamalkan gaya hidup sihat serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar.

Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak penganjur, jawatankuasa pelaksana, sukarelawan, penaja serta semua peserta yang telah memberikan komitmen sepanjang penganjuran berlangsung.

Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi acara tahunan yang mampu memperkukuhkan semangat kebersamaan warga universiti di samping menyokong agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti kampus. – Muhammad Arman Mohd Zakuan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button