General

Sulam: Mahasiswa SAPSP UUM perkasa komuniti kampung rawa menerusi inisiatif pembangunan holistik

Berita dan gambar oleh: Muhammad Ammar Ifzan Bin Afendi

CHANGLUN, 22 Mei hingga 23 Mei 2026: Membawa misi memperkasakan modal insan luar bandar, sekumpulan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Komuniti Kampung Rawa yang merangkumi tiga inisiatif program utama bagi memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk.

Inisiatif berimpak tinggi menerusi Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang diterajui oleh mahasiswa daripada subjek Strategi Intervensi dengan Komuniti dan Pengurusan Organisasi (SSWAK2303) Kumpulan B di bawah seliaan Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar Dan Kerja Sosial (SAPSP), Dr. Tuan Muhammad Zukri Bin Tuan Sembok.

Program yang berlangsung di Surau Kampung Rawa ini memberikan fokus kepada pembangunan pendidikan, ekonomi, dan kesejahteraan kesihatan komuniti. Inisiatif pertama adalah memperkasakan pendidikan komuniti, mahasiswa telah melaksanakan modul Science, Technology, Engineering, and Mathematics (STEM) yang bertujuan memupuk minat kanak-kanak terhadap STEM melalui eksperimen interaktif yang menyeronokkan yang telah disampaikan oleh mahasiswa jemputan Cik Amni Aisyah Bt Izzat (Mahasiswa Fasilitator SOL). Inisiatif ini dapat meningkatkan pemahaman STEM dalam kalangan kanak-kanak.

Program ini turut menitikberatkan aspek pemerkasaan komuniti melalui latihan cendawan bongkah sebagai inisiatif kedua program SULAM. Penduduk diberikan kemahiran praktikal dalam teknik penjagaan cendawan tiram kelabu yang mempunyai kos permulaan rendah dan tidak memerlukan ruang yang luas yang telah disampaikan oleh En Khairani Bin Kasa (Pengusaha Cendawan).

Penceramah jemputan turut berkongsi mengenai pelbagai potensi yang boleh diterokai melalui perusahaan cendawan, termasuk penghasilan produk nilai tambah seperti cendawan sejuk beku dan cendawan kering. Inisiatif ini berpotensi membuka peluang kepada ahli komuniti untuk menjana pendapatan tambahan, sekali gus membantu mereka menampung kos sara hidup bagi membantu penduduk menjana pendapatan tambahan dan menampung kos sara hidup.

Selain itu, bagi melengkapkan agenda pemerkasaan ini, komuniti juga turut diberikan pendedahan berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan penduduk melalui saringan tekanan darah dan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) serta memupuk tanggungjawab individu terhadap tahap kesihatan diri demi mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera yang telah disampaikan oleh Puan Safinaz Binti Mukhtar (Pegawai Farmasi Pusat Kesihatan UUM).

Bagi usaha permulaan dalam memastikan komuniti menjaga dan memantau kesihatan mereka, dua set peralatan pemeriksaan darah tinggi tensimeter atau monitor tekanan darah telah diberikan kepada komuniti dan akan diletakkan di Surau Ar-Rayyan Kampung Rawa. Kumpulan pelajar juga telah memperkenalkan Pengenalan Buku Rekod Kesihatan sebagai alat pemantauan kendiri yang bertujuan untuk membantu ahli komuniti memantau kesihatan mereka dan juga sebagai usaha pencegahan daripada berlaku masalah kesihatan yang lebih serius.

Menurut Penasihat SULAM, Dr. Tuan Muhammad Zukri bin Tuan Sembok, penggabungan ketiga-tiga inisiatif program ini bertujuan memastikan pelaksanaan SULAM memberi manfaat kepada komuniti secara holistik dan bersepadu.

“Para pelajar UUM bukan sahaja membantu komuniti melalui pengenalan perusahaan bongkah cendawan, malah turut menyemai minat kanak-kanak terhadap pendidikan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta menggalakkan komuniti meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan penduduk.

Pendekatan bersepadu ini diharapkan dapat membina hubungan strategik dan kerjasama yang berterusan antara pihak universiti dengan komuniti Kampung Rawa,” ujar beliau.

Program SULAM ini juga menjadi platform pendedahan penting kepada pelajar Program Pengurusan Kerja Sosial untuk memahami aplikasi sebenar peranan pekerja sosial komuniti. Melalui penglibatan secara langsung, para pelajar berpeluang mempelajari bagaimana seorang pekerja sosial komuniti bertindak sebagai pengurus komuniti dalam mengenal pasti keperluan, menyelaras sumber, menggerakkan penyertaan penduduk serta membantu komuniti merancang dan melaksanakan program yang bersesuaian dengan keperluan setempat.

Pihak pengurusan program turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Zarina binti Mat Saad, atas sokongan penuh yang diberikan dalam memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button