Timbalan Ketua Setiausaha KPT lawat UUMKL, tinjau prasarana pendidikan tinggi
Gambar oleh: Muhammad Shakir Eiman Bahari
KUALA LUMPUR, 16 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Lawatan suai kenal tersebut bertujuan untuk meninjau secara dekat prasarana serta infrastruktur yang menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), di samping memahami operasi harian serta cabaran unik yang dihadapi oleh sebuah kampus cawangan di ibu kota.

Ketibaan beliau disambut mesra oleh Provos UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan, Dekan UUMKL, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman, barisan pengurusan tertinggi, serta kakitangan kampus.
Sepanjang sesi lawatan santai itu, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman telah dibawa melawat ke beberapa fasiliti utama kampus, antaranya bilik-bilik kuliah hibrid, Perpustakaan UUMKL, bilik mesyuarat, serta ruang pentadbiran.
Penerangan juga diberikan berkaitan fungsi setiap kemudahan, aplikasi teknologi dalam PdP, serta komitmen berterusan UUMKL dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang moden, kondusif, dan berkualiti.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada pihak pengurusan UUMKL untuk berkongsi perkembangan semasa kampus, termasuk inisiatif penambahbaikan kemudahan demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelajar, staf, dan pihak berkepentingan.
Di akhir lawatan, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman menzahirkan apresiasi terhadap komitmen UUMKL dan menyatakan hasrat untuk kembali lagi ke kampus ini pada masa hadapan bagi mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama warga kerja.
Sementara itu, pihak UUMKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman atas kunjungan tersebut, dan berharap agar jalinan hubungan strategik ini akan terus memperkasakan agenda kecemerlangan pendidikan tinggi negara. – Hisaruddin Ahmat & Muhammad Shakir Eiman Bahari



