Sports

Jalan kaki sambil kibar jalur gemilang

Sintok, 14 Ogos – Demi menzahirkan rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan, seramai 40 staf Jabatan Bendahari, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjalan kaki sambil mengibar jalur gemilang pada ‘Brisk Walk Merdeka’, baru-baru ini.

Acara pelepasan disempurnakan oleh Bursar, Abdul Roni Baharom di Foyer Canselori Sultan Salehuddin membabitkan jarak kira-kira 2.5 kilometer.

Pengarah program, Sobiroh Md. Taha berkata, acara ini diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat jabatan tahun 2024 bagi menunjukkan rasa kasih dan sayang pada negara tercinta di samping menyemai semangat jiwa merdeka di kalangan staf.

Jelasnya, inisiatif ini juga sebagai satu usaha untuk mempromosikan gaya hidup sihat sebagai budaya dalam melayari kehidupan.

“Aktiviti riadah ini sesuai untuk semua orang agar sama-sama menjaga kesihatan untuk memastikan staf sihat dari segi fizikal dan mental walaupun sentiasa sibuk dengan tugasan di pejabat. Bergelak ketawa dan bergembira antara ubat yang bagus untuk kesihatan mental,” katanya.

Manakala peserta, Pembantu Akauntan, Jamnatul Asma Ismail menyifatkan acara   berbentuk  riadah ini bagus untuk kesihatan selain dapat merapatkan ukhwah sesama staf.

“Kehidupan di pejabat setiap hari sangat sibuk jadi peluang ini digunakan sebaiknya untuk melepaskan lelah bekerja, berjalan dari pejabat menuju ke Pusat Sukan bukan sahaja dapat menyihatkan badan, malah kami dapat menyaksikan kehijauan dan keindahan alam di bumi Sintok.

“Seronok dapat bersama kawan-kawan berjalan kaki beramai-ramai sambil mengibarkan Jalur Gemilang semuanya sihat dan cergas sekali gus dapat menanam semangat patriotik bagi setiap warga kampus,” ujarnya yang juga mewakili Jabatan Bendahari yang akan beraksi bagi acara ping pong perseorangan wanita di SUKRIM.

Setelah sampai di Pusat Sukan aktiviti seterusnya ialah Bursary Badminton Merdeka Challenge yang menguji ketangkasan peserta.

Pembantu Operasi, Farizan Lot teruja dapat kembali semula ke gelanggang badminton ini setelah 10 tahun berehat akibat kecederaan lutut.

Beliau yang aktif dengan sukan badminton suatu ketika dahulu, turut mempamerkan aksi mantap bersama rakan-rakan.

Program Bursary Badminton Merdeka Challenge ini juga merupakan antara pentas pemilihan pemain di kalangan warga Bendahari untuk mewakili jabatan ke Karnival Sukan Jabatan Bendahari Universiti Awam (SUKRIM) Kali Ke-4 yang bakal berlangsung pada 6 – 7 September ini di Universiti Sains Malaysia.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button