Jiwa Merdeka seawal usia kanak-kanak TIP
CHANGLUN: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Tadika Ikhtiar Pintar (TIP) mengadakan Program Jiwa Merdeka Awal Usia, baru-baru ini.
Seramai 36 kanak-kanak berumur 6 tahun telah terlibat dalam program yang bertujuan memupuk semangat patritiosme seawal usia dalam kalangan kanak-kanak TIP.
Program ini telah dirasmikan oleh Dekan SoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman bersama Pengusaha TIP, Zamry Mat Zain.
Pengarah program, Dr. Farah Mohamad Zain berkata, program ini berjaya menanam nilai-nilai kebangsaan dan semangat kemerdekaan pada anak-anak seawal usia.
Menurutnya, aktiviti “Topi Merdeka” yang diilhamkan dari bendera Malaysia mendedahkan kepada murid TIP tentang maksud warna dan lambang pada jalur gemilang.
Katanya, program ini turut menyemai pengetahuan tentang erti kemerdekaan dan kepentingan menyambutnya setiap tahun tanpa mengira bangsa.
Aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar pascasiswazah dari Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenaq) dan pensyarah SoE iaitu Dr. Marini Kasim, Dr. Faizahani Ab Rahman dan Prof. Madya Dr. Siti Noor Ismail sebagai fasilitator. – Dr. Farah Mohamad Zain