Sports

Satu-satunya atlet berkerusi roda di SUKIPT 2024

SINTOK – “Jangan pernah rasa diri kurang kerana kita semua ada peluang yang sama.”

Begitulah prinsip yang dipegang oleh Nurin Irdina Jasmine Jaafar satu-satunya atlet berkerusi roda sekali gus mencuri tumpuan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, baru-baru ini.

Anak kelahiran, Seremban, Negeri Sembilan itu menyifatkan sukan memanah banyak membantunya menjadi manusia yang lebih baik dan bersemangat waja.

“Sukan memanah ini telah mengubah diri saya menjadi insan yang fokus, berdisiplin dan yakin pada diri sendiri.

“Kesabaran penting kerana proses memanah mengambil masa selain komited dalam setiap latihan yang dijalankan dari pagi hingga ke petang,” katanya yang juga pelajar Sarjana Muda Sains Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Jelasnya, memanah memerlukan fokus yang tinggi walaupun di luar sukan juga dapat membantu kekal fokus dengan apa jua yang  dilakukan.

Katanya, SUKIPT merupakan satu pengalaman yang sangat berharga bersama pemanah hebat dari kontinjen lain terutama atlet yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang memberi semangat dan saingan luar biasa.

“Mungkin bila lihat saya, orang nampak lain tapi satu kelebihan untuk saya yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dapat peluang wakil UUM beraksi di arena dan sebaris dengan atlet kebangsaan.

“Sewaktu pertandingan berlangsung, saya berdepan masalah pinggang memandangkan untuk duduk statik dalam keadaan yang lama amat mencabar.

“Memanah dalam keadaan duduk lebih sukar lebih-lebih lagi bila kedudukan agak susah untuk diubah ikut keadaan memandangkan titik berat banyak tumpu di bahagian pinggang.

“Selain itu dengan keadaan cuaca yang berangin  dan berdepan masalah teknikal tapi saya kuatkan semangat untuk selesaikan permainan sampai habis,” ujarnya yang mengalami masalah saraf sejak kecil sekali gus membataskan pergerakan.

Dalam pada itu Nurin bersyukur mempunyai kawan-kawan yang juga pembantu yang baik untuk menolak kerusi roda dan mengangkat peralatan sukan.

“Alhamdulillah di saat sukar ini ada kawan-kawan yang membantu memberi dorongan dan meredakan kesakitan buat sementara. Mereka tak putus-putus bagi semangat,” tambahnya.

Barisan atlet yang hebat juga antara pemberi semangat buatnya untuk terus mara. Dia mahu membuktikan bahawa dia juga mampu memberi saingan walaupun dalam keadaan begini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button