Graduan hari ini cerminan kualiti pendidikan dibangunkan alma mater
SINTOK, 11 November 2024: Kejayaan graduan dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada hari ini adalah cerminan kepada kualiti pendidikan yang dibangunkan UUM sejak 40 tahun lalu.
Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah bertitah, mengikut pencapaian terkini UUM mendapati universiti ini disenaraikan sebagai antara universiti terbaik di Malaysia dan juga dalam kedudukan universiti terbaik dunia.
Titahnya, UUM mencatatkan pencapaian tertinggi dalam QS Asian Rankings 2025 iaitu di kedudukan ke-79 di Asia, berbanding ke-101 pada tahun lalu. Pencapaian ke-79 itu adalah kedudukan terbaik sejak tahun 2015, iaitu sejak pertama kali UUM tersenarai dalam ranking tersebut, manakala dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024 pula, UUM mencatatkan di kedudukan ke-71 terbaik dunia, meningkat daripada kedudukan ke-95 berbanding pada tahun lalu, dan sekali gus di kedudukan tempat pertama bagi universiti awam di Malaysia.
Tuanku Pro-Canselor bertitah, majlis konvokesyen hari ini bukan sekadar untuk meraikan pencapaian akademik graduan, tetapi juga kehidupan baru graduan yang penuh dengan peluang, cabaran, dan harapan untuk perkembangan peribadi serta pembangunan profesional.
Titahnya, ilmu yang ditimba di universiti menjadi asas yang kukuh, namun kemahiran dan nilai yang dibina akan menjadi penentu siapa diri sebenar, sama ada sebagai individu dan sebagai anggota masyarakat yang berwibawa dan mampu berbakti.
“Apabila melangkah ke alam pekerjaan atau mengambil tanggungjawab baru, ingatlah bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur melalui pencapaian, tetapi pada nilai prinsip dan moral yang dipegang teguh sepanjang hidup.
“Integriti adalah melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat dan merupakan satu nilai yang paling berharga kepada seseorang. Di dunia yang kadang-kala menawarkan jalan pintas dan tekanan untuk berkompromi, integriti diri akan menjadi panduan dan asas yang kukuh,” titahnya.
Tuanku bertitah, apabila mengharungi fasa baru selepas ini, ingatlah bahawa sikap graduan akan membentuk sebahagian besar pengalaman diri.
Titahnya, di masa hadapan, akan ada hari tertentu di mana satu perkara berlaku tidak seperti dirancang atau para graduan mungkin berasa tertekan atau terhalang, jadi ingatlah bahawa cabaran bukanlah penghalang tetapi sebagai satu peluang.
“Kejayaan selalunya adalah hasil dedikasi, kegigihan, dan ketekunan. Ketika memulakan kerjaya, ketahuilah bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan yang berkekalan. Namun, jangan biarkan hal itu melemahkan semangat kerana usaha gigih pastinya akan membuahkan hasil.
“Percayalah dengan bakat dan kemahiran diri sendiri. Sesungguhnya, kesediaan untuk melangkah ke dalam situasi yang tidak pasti dan berhadapan dengan kesulitan secara berani akan membezakan anda dengan orang lain,” titahnya.
Tuanku Pro-Canselor bertitah, dalam dunia yang berubah dengan pantas hari ini, tiada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Tuanku menyeru kepada graduan agar terus menggali dan menyemai khazanah, nilai dan budaya ilmu serta meneroka pengetahuan baru. Budaya pembelajaran sepanjang hayat dan budaya kesarjanaan perlu dititip dalam diri setiap graduan.
Pada sesi kedua ini, seramai 643 graduan terdiri Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pengurusan (D.Mgmt), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan sarjana menerima ijazah masing-masing, pagi tadi.
Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Timbalan-timbalan Naib Canselor.