General

Penerima Anugerah Keusahawanan berjaya capai gaji premium

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 12 November 2024: Bermodalkan hasil keuntungan produk jualan langsung kira-kira tujuh tahun lalu memulakan perniagaan, graduan Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan), Puteri Saidatul Azwa Tun Ali, 25, kini sudah mampu memiliki studio fotografi sendiri dengan keuntungan RM300,000 setahun berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak.

Penerima Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan itu pada mulanya menjual barangan produk jualan langsung ketika berusia 18 tahun lagi dengan sokongan ibu bapanya, seterusnya dijadikan modal permulaan membuka studio fotografi, Ptryali Studio, sekali gus mencapai gaji premium yang ditetapkan.

Puteri Saidatul berkata, studio tersebut bermula selepas dia tamat pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Vokasional Kuala Kangsar.

Menurutnya, modal permulaan merupakan salah satu halangan terbesar kerana dalam fikirannya, dia perlu bijak mengurus kewangan dan mencari alternatif kreatif untuk memastikan aliran tunai mencukupi. Namun, cabaran terbesar datang dalam bentuk persaingan pasaran yang sentiasa berubah, memaksa dia untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan trend fotografi yang terkini.

“Saya percaya setiap kegagalan adalah peluang untuk belajar dan saya telah melalui pelbagai penolakan dan kritikan yang menguji kesabaran serta daya tahan mental saya. Walaupun adakalanya saya terasa penat dan tertekan, saya percaya bahawa usaha gigih akan membuahkan hasil untuk menjadi pemangkin terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Siapa sangka studio fotografi diusahakan anak sulung daripada empat beradik itu kini berjaya mengaut keuntungan mencecah RM300,000 setahun dan dibantu enam pekerja.

Puteri Saidatul berkata, keuntungan itu adalah hasil kerja keras selama hampir lapan tahun dalam dunia seni yang penuh cabaran dan pengorbanan, membuktikan bahawa kejayaan tidak datang bergolek tetapi perlu dikejar dengan penuh tekad dan iltizam.

Menurutnya, sejak mula menceburi dunia perniagaan, dia didorong oleh minat yang mendalam dalam bidang fotografi terutamanya merakamkan kenangan majlis perkahwinan dan bercita-cita besar untuk mencapai kebebasan kewangan.

Katanya, sokongan keluarga dgn rakan-rakan merupakan tulang belakang yang menguatkan semangat dia, terutamanya ketika menghadapi cabaran dalam perniagaan dan pelajaran pada waktu yang sama.

“Untuk seimbangkan masa antara belajar dan mengurus perniagaan bagi saya bukanlah mudah dan sering kali saya terpaksa berkorban waktu rehat dan bersengkang mata. Malah, saya perlu berulang alik ke Kuala Kangsar hampir setiap minggu untuk menguruskan studio fotografi.

“Kenangan ketika mula berniaga sekitar 2019, saya pernah diberi peluang untuk mengambil gambar majlis diraja dan juga santapan diraja melibatkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim untuk perasmian kilang kelapa sawit. Kini, projek terbaru bersama NCIM,” katanya yang menerima ijazah di Majlis Konvokesyen Ke-37 Sesi Keempat, pagi ini.

Meskipun berjaya dalam perniagaan dan akademik, Puteri Saidatul tidak melupakan jasa ibu bapa dan pensyarah di UUM seperti Prof Madya Dr. Norazlinda Saad termasuk Institut Pembangunan Keusahawan dan Koperasi (CEDI) yang banyak membantu sepanjang berada di universiti.

Menurutnya, dia mahu kejayaan yang dikecapi hari ini menjadi contoh kepada adik-adik untuk lanjutkan pelajaran ke peringkat universiti atau tertinggi dan berjaya dalam bidang diceburi.

Katanya, dia juga ingin memperluaskan lagi studio fotografi dan membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai, selain itu mengadakan kelas fotografi untuk kelab fotografi sekiranya ada panggilan.

“Saya tidak rasa pun hendak putus asa belajar sebabnya saya sendiri sukakan perkara dan ilmu baru. Berniaga dan belajar adalah satu perkara yang seronok bagi saya sebabnya saya boleh buat keduanya sekali. Dan keduanya itu untuk masa depan saya dan keluarga juga,” katanya mengakhiri bicara.

Puteri Saidatul menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Canselor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah pada sesi pertama lalu.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button