Program mobiliti pelajar ASEAN kukuh jaringan pendidikan serantau
Gambar Hairul Nizam Zahari
SUBANG JAYA, 24 Februari 2025: Program Mobiliti Pelajar ASEAN terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh jaringan pendidikan serantau menerusi ASEAN Education Forum 2025 (AEF 2025), yang berlangsung selama dua hari di sini.
Program ini yang berlangsung selama 14 hari dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), menyediakan platform kepada 500 pelajar mobiliti dari Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, dan Timor-Leste untuk menjalani pengalaman akademik lintas sempadan.
Sepanjang program, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk pertandingan ‘Young Speaker’, cabaran projek inovasi, serta lawatan akademik ke institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pelajar ASEAN, tetapi juga memupuk pemikiran kritis dan inovatif dalam kalangan generasi muda rantau ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa mobiliti pelajar adalah komponen penting dalam memperkukuh integrasi serantau.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan pertukaran ilmu dan budaya, malah memperkasakan universiti sebagai pemacu inovasi serta pembangunan sosial dan ekonomi ASEAN,” katanya.
Forum ini turut menyaksikan pemeteraian lebih 20 Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti ASEAN, yang bertujuan untuk memperkukuh kolaborasi akademik dan penyelidikan merentas sempadan.
Selain itu, sesi meja bulat yang dipengerusikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan untuk membincangkan masa depan pendidikan tinggi ASEAN dalam era digital dan globalisasi.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; serta Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Dengan lebih 90 pempamer dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ASEAN dan dihadiri lebih 5,000 pelawat dalam kalangan ahli akademik, pembuat dasar, serta pakar industri, AEF 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab pendidikan bertaraf dunia.
Program Mobiliti Pelajar ASEAN sebagai salah satu inisiatif utama dalam forum ini, dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama akademik dan penyelidikan yang berimpak tinggi, sekaligus memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi ASEAN terus terpelihara. – Kori Ariff