Ramadan Bulan Penuh Ganjaran: Apa Perlu Saya Buat?
SINTOK, 10 Mac 2025: “Empat ciri orang beriman iaitu takut kepada Allah, beramal dengan amal takwa, reda dengan ketentuan Allah dan bersedia dengan kematian.
“Iman pula mempunyai dua jenis iaitu rasa manis apabila berbuat baik atau beribadat pada Allah dan mempunyai rasa pahit untuk berbuat jahat.”
Demikian kata penceramah yang juga Pensyarah UUM, Prof. Madya Dr. Muhamad Amar Mahmad dalam Tazkirah Khas Sempena Menyambut Bulan Ramadhan yang bertajuk Ramadhan Bulan Penuh Ganjaran: Apa Perlu Saya Buat? 2025 anjuran INASIS SME BANK.
“Sentiasa memohon kepada Allah untuk menerima segala amal ibadat sepanjang bulan Ramadan, gambarkan rasa gembira dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan dan perlu membersihkan hati dengan membetulkan niat segala amal ibadat kerana Allah.
Bagi memperoleh gandaan pahala terdapat beberapa tips seperti memohon doa mendapat peluang mengerjakan ibadat umrah dalam bulan Ramadan, ringan memberi makan kepada orang berbuka dan dengan berkat sedekah kerana Allah dapat mengubati penyakit.
selain itu, beliau menekankan supaya sentiasa memohon doa dijauhkan daripada mempunyai sifat dengki, ego, sombong dan riak daripada berada dalam diri untuk kehidupan seharian.
Beliau berharap segala amal ibadat hanya kerana Allah dengan diterima oleh-Nya dan menjadikan dunia sebagai jambatan untuk menuju kehidupan di syurga yang kekal abadi. – INASIS SME BANK