Education

GIFT2025 perkukuh mobiliti global dan budaya serumpun

Gambar Nur Amira Maisarah Maharuddin

SINTOK, 22 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menzahirkan komitmennya dalam memperkukuh identiti di peringkat antarabangsa melalui jalinan strategik bersama institusi pengajian tinggi luar negara.

Selaras dengan aspirasi tersebut, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SOE dan Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) telah menganjurkan program Global Intercultural Friendship & Tradition (GIFT2025) yang berlangsung dari 5 Mac hingga 8 April lalu di Dewan Tan Sri Othman (DTSO), UUM.

Program mobiliti inbound ini menghimpunkan seramai 350 peserta, termasuk 165 pelajar dari SOE, 45 delegasi dari Fakulti Pendidikan, Prince of Songkhla University (PSU), Thailand, pensyarah, pelajar pascasiswazah, staf akademik serta alumni.

Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, GIFT2025 menjadi platform yang signifikan dalam memupuk interaksi budaya, membina persefahaman antara bangsa serta memperkukuh hubungan akademik antara dua negara serumpun.

Menurutnya, GIFT2025 sejajar dengan hasrat UUM untuk memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOE merangkap Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin berkata, pelaksanaan GIFT2025 merupakan satu peluang pembelajaran rentas budaya yang amat bermakna, di mana para pelajar bukan sahaja dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar luar negara tetapi juga meningkatkan literasi budaya, empati dan keterbukaan terhadap kepelbagaian sosial.

Pengarah Program, Nik Nurhasanah Shariffuddin pula menyatakan bahawa program ini memberi penekanan kepada perkongsian budaya, tradisi serta pemahaman sosial antara dua institusi pendidikan tinggi yang berbeza, sekali gus membentuk pelajar yang seimbang dari aspek ilmu, budaya dan nilai sejagat.

“GIFT2025 memperkukuh semangat 1ASEAN menerusi pendidikan rentas budaya ke arah merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memantapkan agenda mobiliti antarabangsa, di samping mengetengahkan keunikan sambutan Aidilfitri di Malaysia kepada delegasi luar sebagai usaha memupuk persefahaman budaya dan keharmonian sejagat,” katanya. – Nik Nurhasanah Shariffuddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button