General

Simbiosis SEFB-Bursa satukan akademik dan industri melalui Panel Diskusi UUM-BURSA 2025

Berita dan gambar M. Khairy Mukhtaruddin dan Aimi Syahidah Ahmad Rashidi

KUALA LUMPUR, 29 April 2025: Sempena sambutan Earth Week anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Bursa Malaysia telah menganjurkan Panel Diskusi UUM-Bursa 2025 pada Khamis lalu di Bilik Persidangan, Bursa Malaysia, Kuala Lumpur.

Bertemakan “Sustainable Investing in Malaysia: Trends, Challenges and Opportunities”, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasa pemahaman peserta mengenai kepentingan pelaburan lestari di Malaysia, selain memberi pendedahan tentang cabaran serta peluang dalam bidang ini.

Sesi perbincangan panel menampilkan tiga ahli panel berpengalaman, iaitu Pengarah Kelestarian Kumpulan, Bursa Malaysia, Dr. Hezri Adnan; Timbalan CEO, CGS International Securities Malaysia, Khairi Shahrin Arief Baki, dan Profesor Kursi Bursa Malaysia, SEFB, Prof. Chris Veld yang dikendalikan oleh Ketua Pembangunan Pelabur, Bursa Malaysia, Stephanie Tan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed turut hadir bagi memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini.

Dalam ucapan beliau menegaskan komitmen Bursa Malaysia untuk memperkasa pelaburan lestari di negara ini, selaras dengan matlamat kelestarian global.

Beliau turut menyatakan bahawa kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi seperti UUM adalah penting dalam membentuk masa depan pasaran modal yang lebih bertanggungjawab dan mampan.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, yang mewakili Naib Canselor turut menzahirkan penghargaan atas peluang kerjasama erat antara universiti dan industri.

Beliau menekankan bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan berkaitan kelestarian adalah pelaburan untuk masa depan negara, dan UUM komited memainkan peranan proaktif dalam mendukung agenda ini.

Penganjuran UUM-Bursa Panel Discussion 2025 bertujuan memperkukuhkan hubungan antara akademia, industri, dan pembuat dasar dalam memperdebatkan isu-isu kewangan lestari. Sesi interaktif yang dianjurkan membolehkan peserta mengajukan soalan secara langsung kepada ahli panel, sekali gus menggalakkan pertukaran idea, pandangan, dan pengalaman yang berharga.

Program ini jelas mencerminkan komitmen kukuh Bursa Malaysia dan UUM dalam memperkasa pendidikan, mempererat keterlibatan industri, serta memperkukuh agenda kelestarian di dalam landskap pasaran modal negara.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan, Pembangunan Kapasiti dan Pengurusan Broker, Bursa Malaysia, A.A Deepa, dan Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri serta ahli pengurusan Bursa Malaysia, pegawai kanan UUM serta wakil dari sektor industri perbankan dan pembrokeran.

Seramai 60 pelajar UUM bersama pensyarah dari pelbagai IPTA dan IPTS dari seluruh Malaysia turut mengambil bahagian sebagai peserta.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button