UUM X UNPAD jadi medan rentas budaya, sulam persahabatan
Gambar Nur Ain Pouzi dan Muhammad Zulakhir Rizduan Zainal Abidin
JATINANGOR, 6 Mei 2025: Program mobiliti pelajar terus menjadi medan memperkukuh jaringan persahabatan merentasi budaya Malaysia-Indonesia menerusi penganjuran UUM X UNPAD.
Program yang berlangsung selama 14 hari ini menghimpunkan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Padjadjaran (UNPAD), Indonesia bermula 15 hingga 30 April lalu dalam dua fasa, iaitu secara maya dan fizikal.
Fasa secara dalam talian bermula pada 15 April hingga 20 April, manakala fasa kedua berlangsung di UNPAD, Jatinangor sepanjang 24 April hingga 30 April 2025.
Program anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan Persatuan Linguistcape, UUM, serta Fakultas Ilmu Budaya (FIB), UNPAD ini melibatkan penyertaan lebih 50 peserta daripada kedua-dua institusi pengajian tinggi ini.
Pengarah program, Tanushri Latchumanan melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan program ini.
“Program ini diharapkan dapat memberi pengalaman yang bermakna serta membina jalinan persahabatan yang berterusan bersama pelajar FIB di UNPAD,” katanya.
Fasa pertama dilaksanakan melalui platform Zoom dan dimulakan dengan pengisian sesi kuliah bersama, sesi mengenali masyarakat Malaysia-Indonesia, virtual campus tour, dan aktiviti pertukaran budaya secara interaktif. Sepanjang sesi ini, peserta berpeluang mempelajari serta berkongsi mengenai bahasa, adat dan budaya kedua-dua negara secara santai dan mesra.
Fasa ini diakhiri dengan penganjuran Forum Perdana: UUM x UNPAD yang menampilkan dua tokoh akedemik SLCP dan FIB, iaitu Dr. Ahmad Fuad Mat Hassan dan Dr. Lina Melinawati Rahayu yang masing-masing mengupas perbincangan bertemakan drama moden Indonesia dan peribahasa Melayu. Pengisian ini membuka ruang wacana yang mendalam tentang warisan kesusasteraan dan kebudayaan kedua-dua negara, khususnya dalam melestarikan nilai dan identiti kebangsaan.
Kegiatan secara fizikal pula dimulakan dengan sesi pendedahan mengenai tradisi dan budaya masyarakat Sunda kepada pelajar UUM menerusi pelbagai aktiviti informatif dan santai. Antaranya ialah kuliah “Budaya Sunda” oleh Dr. Taufik Ampera yang membincangkan sistem nilai, amalan budaya, dan kepercayaan masyarakat Sunda.
Pelajar UUM turut diperkenalkan dengan aktiviti pembelajaran aksara, alatan muzik dan permainan tradisional Sunda bersama pelajar Pengajian Sastera Sunda UNPAD dalam suasana penuh harmoni.
Kemuncak program ini ialah Malam Citra Budaya yang menyatukan warisan seni, muzik, dan ekspresi budaya kedua-dua negara. Majlis gilang-gemilang ini mempersembahkan tarian Sunda, puisi, pencak silat, dan nyanyian, sementara mahasiswa SLCP, UUM turut mempersembahkan tarian kebudayan Malaysia dan nyanyian lagu tradisional.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SLCP, Dr. Nor Azlah Sham Rambely berkata, program ini merupakan medan terbaik bagi mengukuhkan kerjasama antara UNPAD dan UUM dalam memupuk perkongsian ilmu dan budaya Malaysia-Indonesia dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, rangkaian program yang direncana bukan sahaja berbentuk penghargaan terhadap kekayaan warisan, bahkan turut berpotensi menyulam jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam kerangka yang lebih meluas.
Selain kerjasama SLCP, Persatuan Linguistscape dan FIB, program mobiliti UUM X UNPAD turut menerima tajaan produk penjagaan kesihatan organik terkemuka, Hygr. – Murnisha Murugaiah