Sports

Klinik Cilik Golf cari bakat muda dalam permainan golf

Gambar AGNUUM

YAN, 8 Mei 2025: Satu inisiatif pembangunan sukan golf peringkat akar umbi telah dilancarkan melalui Program Misi Pencarian Bakat Muda, Klinik Golf Wilayah Utara, yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sedaka.

Program anjuran bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Mada dan Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia itu telah menghimpunkan lebih 70 pelajar yang berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Program ini bertujuan mencungkil bakat-bakat muda serta memberi pendedahan awal kepada asas permainan golf secara profesional.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengurus Mada Cawangan Kota Sarang Semut, Nazri Ismail; Pengarah Akademi Golf Nasional, Prof Madya Dr. Zaheruddin Othman, serta Timbalan Pengarah Pembangunan Dan Hal Ehwal Pelajar Akademik, Prof. Madya Dr. Soo Hooi Sin.

Nazri menegaskan bahawa usaha mencungkil bakat muda adalah penting dalam memastikan kelestarian dan kesinambungan prestasi sukan negara.

Sepanjang program itu, pelajar-pelajar tersebut dibimbing oleh beberapa jurulatih yang memberi latihan asas dalam teknik swing, putting dan chipping.

Sementara Ketua Jurulatih di Akademi Golf Nasional, Wan Rosni Wan Chik berkata, beberapa pelajar telah menunjukkan potensi luar biasa meskipun baru pertama kali menyertai Klinik Golf.

Dengan sambutan yang amat menggalakkan, pihak penganjur merancang untuk mengembangkan lagi bakat dan minat pelajar dalam sukan golf ini. – Nurul Farhana Abd Razak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button