IBS UUM jadi penganjur bersama Program 2nd ASSIBEF 2025 di Banda Aceh dan Sabang
Gambar IBS UUM
INDONESIA, 5 Jun 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terlibat sebagai penganjur bersama dalam program 2nd Aceh Summer School in Islamic Business, Economics, and Finance (ASSIBEF) 2025 yang berlangsung pada 19 hingga 23 Mei lalu di Banda Aceh dan Sabang.
Program anjuran Fakulti Ekonomi dan Bisnis Islam (FEBI), Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh ini bertemakan “Digital Innovation in SMEs: Strengthening and Developing the Halal Industry towards SDGs” dan menghimpunkan penyertaan dari tiga buah negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand, yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah.
Sebagai rakan penganjur, IBS UUM telah menyumbang secara aktif melalui pelbagai penglibatan antaranya penyertaan pelajar IBS UUM dalam program dan pertandingan antarabangsa merangkumi kategori business plan, penulisan esei, ulasan artikel, infografik dan vlog.
Selain itu, penceramah bagi sesi seminar iaitu Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, IBS UUM, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof dengan tajuk “Strengthening Halal Certification & Compliance: The Case of Malaysia” dan penglibatan sebagai hakim bagi pertandingan pelajar antarabangsa dalam menilai kreativiti dan inovasi peserta.
Di samping itu, penyertaan dalam aktiviti khidmat masyarakat antarabangsa, termasuk lawatan ke perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan seperti PT Kricos Food Indonesia dan Komuniti Ecoprint Sabang serta perbincangan kerjasama strategik dan semakan kurikulum industri halal bersama UIN Ar-Raniry dan rakan institusi dari Thailand seperti Yala Rajabhat University dan Prince of Songkla University.
Program turut diserikan dengan lawatan budaya ke lokasi bersejarah dan simbolik seperti Muzium Tsunami, PLTD Apung, Pasar Kota Sabang serta aktiviti santai di Iboih Beach.
Penganjuran bersama ini membuka ruang luas kepada IBS UUM untuk terus memperkukuhkan kedudukan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan halal dan memperluas jaringan akademik antarabangsa ke arah memperkasakan industri halal serantau. – Dr. Nor Aina Mhd Khotib