Warisan Sport Fiesta himpunkan pelajar inapan siswa UUM
Berita dan gambar Muhammad Aqif Mohamad Muzi
SINTOK, 24 Jun 2025: Hari Kokurikulum UUM 2025 dimeriahkan dengan penganjuran Warisan Sport Fiesta, satu inisiatif yang berjaya menghimpunkan ratusan pelajar dari pelbagai inapan siswa dalam suasana penuh semangat, harmoni, dan kebudayaan.
Program ini dijalankan secara serentak di beberapa lokasi utama sekitar kampus iaitu padang Muamalat, gelanggang futsal Inasis Petronas, dan gelanggang futsal Inasis MISC, yang menjadi tumpuan pelajar sepanjang hari tersebut.
Pelbagai aktiviti sukan tradisional berjaya mencuri tumpuan peserta dan penonton, antaranya termasuk baling selipar, tarik tali, galah panjang dan futsal kampung.
Pengarah Program, Muhammad Zafarul Amir Zaidi selaku Presiden Inasis Petronas berkata, Warisan Sport Fiesta ini bertujuan memperkenalkan semula serta memartabatkan warisan sukan tradisional dalam kalangan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), selain bertujuan menyemai kecintaan terhadap budaya tempatan, memperkukuh jati diri pelajar, serta memupuk semangat muhibah.
Di samping itu, menurutnya, program ini juga menjadi platform untuk pelajar menunjukkan bakat kepimpinan dan kerjasama antara inapan siswa melalui penglibatan aktif dalam setiap acara yang dianjurkan.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan Siswa (JKPS) dan Pusat Kokurikulum UUM sempena sambutan Hari Kokurikulum UUM 2025.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan bahawa pelajar masih mempunyai minat terhadap permainan tradisional.
“Kami mahu sukan tradisional ini terus relevan dan dihargai oleh generasi muda. Ia bukan sekadar permainan, tetapi warisan budaya yang perlu kita kekalkan dan banggakan,” katanya.
Majlis penutup Warisan Sport Fiesta ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM, Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini dan menegaskan kepentingan meneruskan usaha memelihara sukan tradisional sebagai sebahagian daripada pendidikan budaya kepada mahasiswa.
“Usaha seperti ini wajar diteruskan kerana ia mendidik pelajar untuk menghargai akar budaya kita, sambil menyuburkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, toleransi dan kesukanan,” katanya.