Kem Kepimpinan Pengawas serlah potensi kepimpinan murid sekolah rendah
Gambar WBL SCIMPA
SINTOK, 17 Ogos 2025: Seramai 80 pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkong telah menyertai Kem Kepimpinan Pengawas 2025 di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program anjuran SK Kangkong dengan kerjasama SCIMPA ini bertujuan membina keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi serta memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan pemimpin muda sekolah rendah.
Guru Besar SK Kangkong, Norizawati Ismail berkata, program ini diadun dengan aktiviti-aktiviti bagi memupuk semangat patriotik bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Menurutnya, kem ini merupakan sebahagian daripada usaha sekolah untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai jati diri, daya kepimpinan yang tinggi, di samping memupuk semangat patriotik bersempena bulan kemerdekaan.
“Saya amat kagum dengan pengurusan SCIMPA kerana kreativiti yang diketengahkan amat luar biasa sehinggakan semua pelajar-pelajar kami ini patuh, bersemangat, memberi komitmen yang amat tinggi dan ini amat mengejutkan pihak sekolah dan kami berterima kasih kepada pihak SCIMPA.
“Kerjasama bersama SCIMPA ini sangat membantu kami dan kami berharap pelajar kami ini dapat mengingati kenangan ini,” katanya.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti interaktif seperti bengkel kepimpinan, simulasi kepimpinan berpasukan, sesi pop kuiz, persembahan, dan pengurusan diri secara kreatif menerusi aktiviti “Cerah dan Pakat”.
Program ini dirasmikan oleh Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail.
Menurutnya, program terkandung modul kreatif yang dicipta khas bersesuaian dengan pelajar sekolah rendah untuk mereka lebih bertanggungjawab, berani menyuarakan pendapat, berani berkomunikasi dengan baik, menunjukkan kemampuan diri dan menunjukkan contoh teladan kepada rakan-rakan mereka apabila mereka pulang ke sekolah.
Menurutnya, satu aspek pemantauan selama tiga bulan akan dijalankan di sekolah ini.
“Kami juga telah menjadikan sekolah ini sebagai sekolah anak angkat SCIMPA memandangkan sekolah ini memerlukan sokongan berterusan khususnya daripada institusi pengajian tinggi, segala kemahiran yang SCIMPA ada akan dikongsikan kepada pihak sekolah,” katanya.
Dr. Adzrool berkata, program seperti ini seharusnya dijadikan model kerjasama sekolah dan universiti bagi memperkaya proses pembelajaran pelajar sekolah rendah melalui pendekatan kreatif dari pelbagai aspek.
Program ini telah berjaya mencipta detik bermakna dalam perjalanan pendidikan pengawas SK Kangkong dengan membuktikan bahawa bimbingan yang betul dan platform yang sesuai, pemimpin kecil mampu dilahirkan dengan potensi yang besar dan menjadi harapan negara. – M Shahadat Ali Nordin