Sports

Akademi Bola Sepak UUM FC perkasa pembangunan bola sepak setempat

Berita dan gambar Mohd Hafidz Baharudin

SINTOK, 21 Ogos 2025: Akademi Bola Sepak UUM FC telah ditubuhkan hasil kerjasama antara Kelab Bola Sepak UUM dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS).

Usaha ini bermula daripada cadangan Kelab Bola Sepak UUM dan mendapat kelulusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKBBS dalam mesyuarat agung tahun lalu.

Matlamat utama penubuhan akademi ini adalah untuk memperkasa pembangunan bola sepak di kawasan Sintok dan Changlun khususnya.

Pengurusan akademi diketuai oleh dua staf UUM, iaitu Muhammad Muadz Madzlan (TISSA-UUM) dan Muhammad Zharif Aiman Md Zamri (BSD UUM).

Akademi ini mula beroperasi pada awal Ogos dan dijalankan setiap hujung minggu bertempat di padang Inapan Siswa Yayasan Al-Bukhary.

Muhammad Muadz berkata, fokus utama akademi adalah pembangunan asas bola sepak, pembentukan disiplin serta pemupukan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.

Menurutnya, latihan dijalankan secara sistematik berasaskan modul khusus yang dibangunkan oleh jurulatih UUM FC, yang juga merupakan staf universiti berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan sebagai bekas pemain bola sepak.

Sehingga kini, akademi ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 110 peserta terdiri daripada anak-anak staf UUM serta pelajar sekolah di sekitar Sintok dan Changlun.

Sementara itu, Presiden UUM FC, Muhammad Hafidz Baharudin berkata, penubuhan Akademi Bola Sepak UUM FC merupakan langkah penting melahirkan bakat muda sejak di peringkat akar umbi.

Menurutnya, anak-anak staf UUM dan pelajar setempat kini berpeluang mengikuti latihan tersusun di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, sekali gus membina disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan.

Penyelaras Bola Sepak SKBBS, Mohd Mu’az Mohamad pula menyifatkan kerjasama ini membuka ruang besar kepada pelajar sekolah untuk menonjolkan bakat, di samping mengukuhkan hubungan positif antara sekolah, universiti dan komuniti.

“Program ini diyakini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan bola sepak, sahsiah serta kesihatan murid,” katanya.

Penganjuran Akademi Bola Sepak UUM FC bukan sahaja menjadi wadah pembangunan bakat bola sepak peringkat akar umbi, malah turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan komuniti UUM dengan masyarakat setempat melalui sukan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button