Dialog strategik industri perkasa Skim Takaful Penjagaan Warga Emas selaras RMK13
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Abd Halim @ Hamilton Ahmad
KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2025: Penyelidik dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama strategik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), telah menganjurkan sesi libat urus di Ibu Pejabat AKPK, Jumaat lalu.
Mereka telah membentangkan hasil kajian daripada projek penyelidikan bertajuk “Assessing Financial Health Literacy and Market Demand Among Malaysian Young Adults: Towards Establishing a Takaful-Based Elderly Care Scheme in Preparation for An Aging Nation” yang dibiayai oleh dana Islamic Economy Research and Innovation Fund (IERIF).
Sesi berkenaan dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Siti Nurazira Mohd Daud selaku ketua penyelidik projek.
Dr. Siti Nurazira berkata, sesi ini berperanan sebagai platform dialog strategik untuk membincangkan masa depan pembiayaan penjagaan jangka panjang (LTC) warga emas di Malaysia melalui mekanisme perlindungan berasaskan takaful.
Menurutnya, sesi ini turut menghimpunkan wakil utama industri termasuk Malaysian Takaful Association (MTA), pengendali takaful, Bank Negara Malaysia (BNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kementerian Kesihatan.
“Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang 2040, namun ketika ini masih tiada mekanisme pembiayaan mampan bagi penjagaan jangka panjang (LTC).
“Penjagaan warga emas perlu dilihat sebagai tanggungjawab awam, bukan beban peribadi,” katanya.
Cadangan skim takaful LTC ini dilihat sebagai komponen penting dalam memenuhi sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu menyediakan perlindungan berstruktur bagi populasi berusia melalui mekanisme kewangan yang adil, patuh Syariah, dan lestari. Ia dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan sendiri (out-of-pocket), mengurangkan beban penjagaan ke atas keluarga serta memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi realiti Malaysia sebagai negara tua menjelang 2040.
Sesi ini juga menandakan peralihan kajian ke fasa mobilisasi belanjawan dan pelaksanaan projek perintis, selaras dengan strategi RMK13 (2026–2030) bagi mewujudkan ekosistem penjagaan jangka panjang yang mampan, berkualiti, mudah diakses dan mampu dibayar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed, menyifatkan hasil kajian yang dibentangkan sebagai komprehensif dan tepat pada masanya, sekali gus menjadi landasan penting bagi industri takaful merangka langkah seterusnya.
Beliau menegaskan, perbincangan lanjut bersama semua pengendali takaful akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan skim ini.
Penganjuran sesi libat urus ini menunjukkan komitmen UUM untuk melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, di samping memperkukuh kolaborasi strategik antara akademia, industri, dan pembuat dasar bagi menghadapi cabaran penuaan penduduk negara.
Usaha ini juga seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, keterangkuman sosial dan kelestarian sistem perlindungan warga emas.