Education

Penyelidik UUM jelajah New Zealand, himpun suara komuniti Islam untuk kajian zakat

Berita dan gambar Dr. Amirul Faiz Osman

CHRISTCHURCH, 11 September 2025: Sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjelajah New Zealand merentasi North Island dan South Island bagi menjalankan pengumpulan data untuk sebuah geran antarabangsa yang ditaja oleh National Zakat Foundation (NZF) Australia.

Kajian ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Farihal Osman dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), dengan pasukan pengumpulan data terdiri daripada Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Dr. Rusniza Abdul Rahman (TISSA), dan Dr. Amirul Faiz Osman (IBS).

Dr. Farihal berkata, kajian ini bertujuan memahami persekitaran dan amalan zakat dalam kalangan masyarakat Islam minoriti di negara tersebut, seterusnya mengemukakan cadangan bagi mengukuhkan penubuhan NZF New Zealand.

Sepanjang dua minggu di bumi Kiwi, penyelidik UUM telah menelusuri empat bandar utama iaitu Auckland, Hamilton, Wellington, dan Christchurch serta bertemu dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin persatuan Islam, usahawan Muslim, sukarelawan, dan komuniti setempat.

Kehadiran mereka disambut mesra oleh masyarakat Islam di New Zealand yang melahirkan keterujaan kerana ini merupakan kali pertama penyelidik dari Malaysia hadir untuk meneliti isu zakat dan kehidupan Muslim di sana.

“Kami berjaya memperoleh maklumat yang mendalam dan bermakna melalui sesi temu bual serta perbincangan kumpulan bersama pelbagai lapisan masyarakat Islam di New Zealand.

“Hasil kajian ini dijangka menyumbang kepada usaha NZF Australia dalam menambah baik strategi penubuhan NZF New Zealand, sekali gus diharapkan dapat membuka peluang kepada lebih banyak geran penyelidikan antarabangsa buat UUM pada masa hadapan,” kata Dr. Farihal.

Selain itu, pasukan penyelidik turut berkesempatan melawat Masjid Al Noor di Christchurch, sebuah lokasi yang masih sarat dengan kesan emosi akibat tragedi berdarah pada 15 Mac 2019. Peristiwa hitam itu meninggalkan trauma mendalam dalam kalangan umat Islam setempat, malah sehingga kini pihak pengurusan masjid masih berdepan ugutan.

Namun begitu, mereka telah melaksanakan pelbagai langkah strategik untuk memperkukuh ciri keselamatan demi menjamin kesejahteraan jemaah. Lawatan ini memberi peluang kepada penyelidik untuk menyingkap realiti kepayahan umat Islam dalam menghidupkan syiar Islam di bumi asing.

Sesungguhnya, dengan semangat kesepakatan dan kesukarelawanan yang tinggi, halangan yang besar dapat ditangani dengan penuh tabah.

Kejayaan projek ini membuktikan bahawa penyelidik UUM dipercayai menjalankan kajian berskala besar di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti dalam arena penyelidikan global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button